Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini berkata beliau tidak akan memaksa anggota pergerakan sayap parti itu supaya memihak kepada mana-mana individu dalam krisis yang melanda parti itu sekarang.

Sambil menegaskan bahawa parti adalah lebih penting daripada individu, Wee berkata anggota pergerakan itu bebas membuat pilihan mereka sendiri.

"Pada akhirnya, MCA mesti kekal kuat. Itu pegangan saya," kata Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita pada kempen pencegahan H1N1, anjuran MCA Johor Bahru, Wee berkata tindakan mengarah anggota Pemuda untuk menyokong calon tertentu, akan bermakna beliau seorang diktator.

"Dan saya tidak mahu dilabel sebagai diktator," katanya.

MCA kini berhadapan dengan krisis dalaman, dengan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) manakala timbalan presiden MCA yang dipecat dari parti Datuk Dr Chua Soi Lek dan penyokongnya juga dikatakan akan mengadakan EGM mereka sendiri.

Dr Chua dipecat daripada parti minggu lepas atas cadangan lembaga disiplin kerana mencemarkan imej parti ekoran skandal video seksnya. Bernama