Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan ADUN Umno Terengganu, yang diura-urakan akan menyertai PKR, cuba menyeret campur tangan pemimpin atasan Umno bagi mendapatkan kembali kedudukan dalam kerajaan negeri berkenaan, kata pengarah strategik PKR.

Tian Chua berkata sembilan ADUN itu tidak menunjukkan minat untuk menyertai agenda perjuangan PKR ke arah keadilan sosial dan menegakkan hak asasi manusia.

"Kita dapati mereka sebenarnya tidak ada isu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kalau betulpun mereka kata hendak lompat, bukan kerana mereka tertarik dengan perjuangan PKR untuk dapatkan kesamarataan antara kaum atau hak asasi. Mereka sendiri tidak dapat sebut apa itu perjuangan PKR."

"Mereka tidak ada motif pun. Cuma mungkin sebab mereka ingin tarik perhatian perdana menteri supaya dapat tawar-menawar kedudukan mereka (dalam kerajaan Terengganu)," kata Tian lagi.

Kumpulan wakil rakyat yang setia kepada mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan memulaukan satu pertemuan dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presidennya Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Hulu Terengganu, semalam.

Selain menghangatkan kembali ura-ura lompat parti, tindakan itu juga membayangkan konflik yang semakin tajam dalam Umno negeri - susulan rasa tidak puas hati dengan pelantikan Datuk Ahmad Said, bagi menggantikan Idris, sejak selepas pilihan raya umum lalu.

Ditanya sama ada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bertemu dengan sembilan ADUN Umno berkenaan, Tian enggan mengesahkannya dengan alasan khuatir partinya menerima kritikan daripada BN.

"Kalau betul (pertemuan itu diatur), tak kan kita mahu kata ya? Tak kan kita hendak beri peluang kepada BN untuk hentam kita semula?" katanya.

Tambahnya, PKR bagaimanapun berhak mendapatkan penjelasan sebenar daripada pemimpin-pemimpin Umno itu berhubung motif mereka meninggalkan parti Melayu itu.

"Sebab itu kita perlu kejar mereka untuk dapatkan penjelasan apa motif mereka buat macam ini," kata Tian.

Isu rundingan PKR-Umno itu tidak perlu lagi diperbesar-besarkan, tambahnya lagi, malah PKR juga tidak berminat untuk menggunakan isu lompat parti di Terengganu kerana Umno telah mengalami perpecahan dalaman.

"Saya tidak nampak isu di sini, buat apa media nak besar-besarkan? Kalau mereka tidak lompat pun, mereka sekarang telah berpecah juga," katanya.

ADS