Lelaki cedera dibelasah, curi kain RM15 di bazar Ramadan
Gara-gara mencuri kain ela membuat baju wanita berharga RM15 di bazar Ramadan berdekatan Masjid Sultan Ahmad Shah 1 dekat Kuantan, seorang lelaki cedera selepas dibelasah seorang peniaga, semalam.
Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.40 petang semasa lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba melarikan kain tersebut dari sebuah gerai, namun perbutannya itu disedari seorang peniaga di gerai berhampiran.
Peniaga itu kemudian meluru ke arah lelaki tersebut sebelum bertindak membelasahnya hingga mengakibatkan kecederaan di bahagian dahi.
Pemilik gerai berkenaan Safinah Bulat, 59, ketika ditemui berkata dia tidak menyedari perbuatan lelaki itu kerana sedang sibuk melayan pelanggan lain, dan hanya menyedari kejadian itu selepas berlaku pergaduhan di hadapan gerainya.
Dua anggota polis yang berada di kawasan tersebut kemudian menahan lelaki itu sebelum membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk disoal siasat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. BERNAMA

