Kabinet memutuskan untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini.

Menurutnya, pasukan petugas khas itu akan turut dianggotai oleh wakil dari Kementerian Pengangkutan, Pejabat Peguam Negara dan golongan profesional.

Difahamkan, pasukan petugas khas itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis yang juga sedang menyiasat skandal tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas kabinet membincangkan laporan akhir yang disediakan oleh pasukan petugas yang ditubuhkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menyiasat skandal PKFZ itu.

Jumaat lalu, Ong dan anggota pasukan petugas khas itu termasuk peguam Vinayak Pradhan, dari firma guaman Skrine, mengadakan pertemuan selama sejam dengan Najib di pejabat perdana menteri.

Anggota lain pasukan petugas kementerian pengangkutan itu termasuklah Lim Chee Wee (dari Skrine), pengarah urusan khidmat nasihat PricewaterhouseCoopers (PwC), Chin Kwai Fatt, dan pengarah eksekutif kanan PwC, Lim San Peen.

Pihak media juga melaporkan bahawa pasukan petugas itu telah mengenalpasti berlakunya dakwaan penyelewengan serius oleh kakitangan utama, termasuk bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar PKFZ, OC Phang.

Chan dilaporkan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang mengaitkannya dengan skandal tersebut.

Sementara itu, bercakap selepas majlis berbuka puasa di kediamanm rasminya di Putrajaya, Najib berkata, pasukan petugas khas baru itu akan menyiasat dua bidang - pentadbiran projek dan aspek dayamaju projek berkenaan.

Menurutnya, kerajaan mahu tahu, dari mula-mulanya, apa yang tidak selari dengan urustadbir yang baik.

Pasukan petugas itu juga, katanya, akan mengkaji apa yang hendak dilakukan dengan projek tersebut dan bagaimana hendak mendapat balik nilai wang dari projek berkenaan.

Najib berkata pasukan petugas itu akan mengemukakan laporan kepada kabinet untuk dibincang bagi memutuskan tindakan selanjutnya.

Menjawab soalan, beliau berkata, peranan pasukan petugas itu adalah berasingan daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh pols dan SPRM.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa kabinet mengambil alih siasatan terhadap PKFZ daripada Kementerian Pengangkutan.

Sebaliknya, kata beliau, pasukan petugas khas itu akan menimbang laporan Kementerian Pengangkutan.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan ia lebih besar daripada bidangkuasa Kementerian Pengangkutan, maka KSN telah ditugaskan untuk mengetuainya.

Langkah tersebut, tegas Najib, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menyiasat perkara itu.

Pasukan petugas khas itu akan ditubuhkan segera dan mesyuarat pertamanya akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Tiada tempoh masa ditetapkan untuk ia menyiapkan laporannya dan Najib juga tidak menyatakan sama ada laporan itu akan diumumkan pada awam, seperti laporan siasatan sebelum ini.

Ditanya sama ada bidang tugas pasukan itu akan diumumkan, Najib berkata: “Kabinety telah memberi mereka garispanduan. Mereka tahu apa nak buat”.

[Baca berita penuh]