Kurang dari 48 jam sahaja lagi sebelum pemilihan jawatan MIC berlangsung dengan Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu

merayu perwakilan supaya mengundi pasukan yang dipilihnya bagi mengekalkan kestabilan dan perpaduan dalam parti.

Samy Vellu, yang menang tanpa bertanding sebagai Presiden untuk sepenggal lagi, berkata beliau yakin perwakilan akan memberikan keutamaan kepada parti dan bukannya individu semasa mengundi kelak.

"Parti mesti menjadi keutamaan kita. Kaum India adalah keutamaan kita. Oleh itu, kita mesti memastikan supaya kestabilan dikekalkan dalam MIC," katanya kepada Bernama menjelang perhimpunan agung ke-63 MIC selama dua hari yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra Sabtu ini.

Beliau menggesa 1,464 perwakilan untuk memilih pemimpin yang "bersih, amanah, bertanggungjawab dan bekerja keras dengan rekod pencapaian yang cemerlang" bagi memastikan mereka dapat memimpin parti "dengan lancar" bersama-sama beliau.

"Pasukan Presiden 2009" terdiri daripada penyandang Timbalan Presiden Datuk G Palanivel, yang mempertahankan jawatan itu, dan gandingan tiga serangkai Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S K Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan, yang akan bersaing bagi tiga jawatan Naib Presiden.

Samy Vellu turut merestui 27 daripada 63 calon yang akan berentap bagi mengisi 23 tempat dalam Jawatankuasa Kerja Pusat parti.

"Ini (Pasukan Presiden) bukanlah pasukan saya. Ia adalah pasukan mereka (perwakilan) dan hanya ada satu pasukan sahaja dalam MIC," kata Samy Vellu, yang menganggapkan pasukan itu sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kuasa selepas beliau mengumumkan persaraannya pada 2012.

"Persefahaman perlu ada sesama pemimpin dan mereka mesti bekerja sebagai satu pasukan untuk membina semula parti. Jika perwakilan membuat pilihan yang salah, ia mungkin memusnahkan perpaduan yang sedia terjalin dalam parti," katanya.

Samy Vellu berkata MIC perlu terus diperkukuhkan untuk berkhidmat kepada kaum India dan berdepan pilihan raya umum akan datang.

Sumber parti dan pemerhati menjangkakan Palanivel akan memiliki kelebihan 50 hingga 100 undi berbanding pencabarnya, bekas Timbalan Presiden Datuk S Subramaniam dan Naib Presiden Datuk S Sothinathan.

Samy Vellu mengakui beberapa hari lepas bahawa perebutan bagi jawatan timbalan presiden agak getir namun meramalkan Palanivel akan meraih antara 650 dan 700 undi untuk muncul pemenang.

"Palani memiliki sebahagian besar undi. Undi yang selebihnya akan dikongsi oleh dua lagi calon. Saya tidak menjangkakan berlaku kejutan dalam saingan ini," katanya.

Dalam pertandingan jawatan Naib Presiden, pencabar terdekat bagi calon pilihan Samy Vellu dijangka Datuk K S Balakrishnan dari Johor dan bekas Naib Presiden Datuk V K K Teagarajan dari Kuala Lumpur.

Dua lagi calon ialah P. Subramaniam, bekas Ketua Pemuda MIC Selangor dan P Mariayee dari Negeri Sembilan.

Saingan untuk kerusi jawatankuasa kerja pusat juga akan menjadi sukar, dengan Samy Vellu sendiri menjangkakan dua 'orang luar' akan dipilih perwakilan.

"Ramai pemimpin akar umbi telah mengisytiharkan secara terbuka bahawa mereka akan mematuhi senarai Presiden untuk jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden tetapi bukan untuk CWC.

"Di sinilah mereka perlu menggunakan kebijaksanaan sendiri dan membuat pilihan tanpa perlu diberitahu siapa yang perlu mereka undi," kata seorang pemerhati, yang enggan dikenali.