MIC sebagai parti politik terbesar masyarakat India dalam negara akan mengambil langkah-langkah kukuh untuk meraih sokongan masyarakat India Malaysia, kata presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu.

Beliau berkata parti yang mempunyai seramai 630,000 anggota itu akan meneruskan usaha untuk mengembalikan sokongan masyarakat India kepada BN.

"Kami sudah mulakan langkah ini sejak selepas pilihan raya umum yang lepas. Melalui pelbagai tindakan yang diambil MIC, masyarakat India mula kembali kepada BN. Proses ini akan diteruskan dengan pendekatan-pendekatan baru yang dapat meyakinkan masyarakat India," katanya dalam ucapan penutupan mesyuarat agung MIC yang ke-63 yang berakhir hari ini., lapor Bernama.

Katanya pendekatan MIC kini akan lebih bertumpu kepada golongan muda dan usaha ini dimudahkan lagi dengan lebih ramai pemimpin muda yang dipilih ke jawatankuasa pusat parti tersebut semalam.

"Sebagai langkah pertama, pendaftaran anggota-anggota baru akan mula dilakukan secara 'on-line' melalui Portal MIC bagi memudahkan lebih ramai golongan muda dan berpendidikan menjadi anggota parti.

"Selain itu, lebih banyak cawangan-cawangan yang diketuai oleh golongan muda akan dibuka. Kami sudah mengenal pasti lebih kurang 2,000 orang graduan yang akan terlibat dalam usaha ini," katanya.

Samy Vellu berkata golongan wanita juga akan diberikan peranan yang lebih besar dan mencabar, dengan pemimpin-pemimpin wanita di peringkat cawangan dan bahagian akan dikenal pasti untuk diberikan tanggungjawab menerajui cawangan.

Katanya pergerakan Wanita dan Puteri parti itu mesti lebih aktif dan kreatif dalam merancang serta melaksanakan lebih banyak program untuk kaum wanita dan menurutnya beliau mahu supaya kedua-dua pergerakan ini bergerak dengan lebih agresif.

Beliau berkata tugas penting MIC kini adalah untuk membantu BN memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan.

"Tugas pertama Datuk G Palanivel (yang dipilih sebagai timbalan presiden untuk penggal kedua semalam) ialah untuk mengetuai jentera pilihan raya MIC.

"Saya bersama Datuk Palanivel akan merancang strategi pilihan raya yang mampu memenangi hati dan minda pengundi-pengundi India," katanya.