Seorang jurujual wanita maut manakala dua anak saudaranya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah kereta sebelum dilanggar sebuah kereta lain di Km158 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur dekat Lanchang, semalam.

Mangsa Nurul Aida Rozali, 19, dari Kawasan Punjong dekat Lanchang meninggal dunia di tempat kejadian sementara dua anak saudara lelakinya berusia enam tahun dan 13 tahun cedera di bahagian badan.

Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri Pahang, Supt Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata kejadian kira-kira 1.45 petang itu berlaku ketika mangsa datang dari arah Temerloh menghala Kuala Lumpur.

"Motosikalnya kemudian telah bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah yang sama menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh ke laluan bertentangan manakala dua anak saudaranya tercampak ke bahu jalan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Beliau berkata pada masa yang sama datang sebuah Toyota Estima dari arah bertentangan lalu melanggar dan menyeret mangsa sejauh 44 meter.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah untuk bedah siasat manakala dua kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Lanchang oleh orang awam untuk rawatan. BERNAMA