Tiada penurunan cukai terhadap barangan sensitif negara, yang antaranya termasuk beras, arak dan rokok menjelang pelaksanaan kawasan perdagangan bebas Asean (Afta) bermula 1 Jan 2010 nanti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berkata barangan-barangan tersebut merupakan barangan yang sensitif dan persetujuan telah dicapai antara negara-negara Asean untuk tidak menurunkan kadar cukai yang telah ditetapkan oleh negara-negara terbabit.

"Seperti beras, kita tidak akan menurunkan cukai ke atasnya kerana hanya Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) yang menjadi pengeksport tunggal bagi negara ini.

"Barangan yang sensitif lain seperti arak dan rokok juga tidak akan diturunkan dan ia telah dibincangkan antara negara-negara Asean," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Raya Aidilfitri bersama pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bharu hari ini.

Afta atau Kawasan Perdagangan Bebas Asean adalah perjanjian yang dibuat oleh Asean untuk pengeluaran tempatan semua negara-negara yang terlibat.

Ketika perjanjian Afta ditandatangani secara rasmi, Asean dianggotai enam negara iaitu, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Vietnam bergabung pada 1995, Laos dan Myanmar pada 1997 dan Kemboja pada 1999 menjadikan AFTA sekarang terdiri dari 10 buah negara Asean.

Antara tujuan perjanjian Afta dibuat adalah untuk meningkatkan daya saing Asean sebagai pangkalan pengeluaran dalam pasaran dunia melalui penghapusan halangan tarif dan bukan tarif dalam Asean.

Mustapa berkata dengan wujudnya Afta, ia mampu menarik pelaburan langsung asing ke Asean dan pengguna dapat memperoleh barang dagangan dari pengeluar yang lebih cekap di Asean serta mewujudkan perdagangan sesama anggota Asean.

"Seiring dengan peningkatan persaingan harga dalam industri-industri pembuatan dan saiz pasaran yang lebih besar, pelabur-pelabur dapat menikmati pengeluaran secara besar-besaran," katanya.

Beliau berkata Afta akan memberikan impak yang positif terhadap ekonomi negara dengan meningkatkan tahap kualiti produktiviti yang menepati piawaian antarabangsa.

Beliau berkata sejajar dengan itu, pihaknya juga telah mengadakan program pendidikan dan kesedaran kepada pengusaha-pengusaha industri tempatan untuk memberi dorongan dan hala tuju mengenai Afta.

"Malahan kita akan teruskan program pendidikan ini kepada semua pihak yang terlibat dalam perdagangan daripada berskala kecil hingga berskala besar agar mereka mengambil kesempatan ini untuk memajukan perniagaan dan industri mereka," katanya. BERNAMA