Kuih bulan 1Malaysia di festival tanglung
Tanglung gergasi setinggi 10 kaki berbentuk logo 1Malaysia akan dinyalakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen sempena majlis pelancaran Festival Tanglung Kuala Lumpur 2009, Sabtu ini.
Di samping itu, kuih bulan yang berbentuk seperti logo 1Malaysia akan turut dipamerkan pada Festival Tanglung itu yang akan diadakan di hadapan Pasar Seni, Kuala Lumpur dari 7 malam hingga 11 malam, kata Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur, Datuk Yew Teong Look.
"Festival tanglung ini bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kebudayaan berbilang kaum di negara ini selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata festival itu yang dijangka mampu menarik 20,000 pelancong, dianjurkan bagi memperkenal dan mempromosikan kebudayaan kaum Cina kepada masyarakat daripada kaum lain serta pelancong asing.
"Antara program yang disusun termasuk tarian singa dan tarian naga, pertandingan teka-teki di bawah tanglung dan persembahan artis tempatan. Cenderahati akan diberi kepada tetamu terutama pelancong asing," kata Yew.
Topeng mulut dan hidung akan turut diedarkan sebagai langkah pencegahan wabak influenza A (H1N1).
Tanglung dan kuih bulan merupakan perayaan tradisi bagi meraikan festival tahunan kuih bulan yang disambut pada 3 Okt tahun ini. BERNAMA

