Cipta rekod berjalan songsang 322km
Kecacatan fizikal tidak menjadi penghalang bagi atlet istimewa Edward Taning untuk cuba mengabadikan nama dalam Malaysia Book of Records dengan berjalan secara berundur dari Sandakan ke Kota Kinabalu sejauh 322km.
Beliau yang lumpuh separuh badan melakukan projek amal itu bertujuan mengutip dana sebanyak RM500,000 bagi mengisi Tabung Pusat Seri Mengasih di Kota Kinabalu.
Edward, 48, dari Inanam, Kota Kinabalu akan memulakan perjalanan itu esok dan akan mengambil masa 15 hari untuk menyempurnakan projek amal itu membabitkan 15 perhentian di setiap daerah yang dilalui.
Katanya, beliau melakukan projek amal itu kerana pusat tersebut memerlukan kewangan untuk membiayai kos operasinya bagi menampung 130 kanak-kanak istimewa.
"Saya menyasarkan untuk berjalan selama 10 jam bermula pukul 4 pagi dan akan menghabiskan sejauh 26km hingga 30km setiap hari," katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan akhir di Padang Bandaran di Sandakan hari ini.
Edward telah melakukan latihan persiapan selama empat bulan di Jalan Kiulu, Tamparuli dan Padang Sekolah Sekolah Menengah Mantob di Kiulu sebelum melakukan projek amal itu.
Beliau berharap dapat menyempurnakan projek amal itu mengikut perancangan bagi membuktikan kecacatan yang dialaminya tidak menghalang untuk mencapai impiannya itu.
Dalam projek amal itu, beliau dibantu oleh Pengurusnya Dorinis Balantis dan turut mendapat tajaan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah.
Sebelum ini, Edward pernah mencatatkan rekod dengan berjalan kaki selama 61 jam bermula dari Inanam sehingga ke puncak Gunung Kinabalu pada 1992. BERNAMA

