Ahli parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Ghazali menjelaskan beliau tetap menerima tetamu termasuk sewaktu sambutan Aidilfitri walaupun masih berehat selepas pembedahan lebih sebulan lalu.

Ahli jawatankuasa pusat PAS itu bagaimanapun enggan menemui atau diwawancara media, jelasnya dalam mesej SMS hari ini.

dr lolo ceramah 050308 stager "Saya memang sedang berehat sejak lepas dibedah dan juga sejak balik dari kampung berhari raya, (saya) mengalami acute gastro enteritis (sakit perut)," katanya.

"Tetapi tidak pernah saya atau keluarga menyatakan tidak mahu menerima pelawat.

"Cuma saya tidak bersedia untuk menerima lawatan atau ditemuramah oleh wartawan."

Tambahnya, rumahnya sering dikunjungi ahli-ahli keluarga dan sahabat handainya.

Beliau menjelaskan laporan Malaysiakini semalam yang memetik kenyataan seorang pembantunya Mohd Ehsan Mohd Surur.

Wakil rakyat wanita itu dikatakan perlu berehat panjang dan tidak dapat menerima sebarang tetamu.

"Bukan saja untuk terima tetamu, untuk jawab telefon pun dia tidak larat," katanya semalam, menjelaskan keengganan wakil rakyat itu untuk ditemubual melalui telefon.

Anggota keluarga, kakitangan dan beberapa pemimpin PAS yang dihubungi bulan lalu keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut status kesihatan sejak dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pertengahan Ogos lepas.

Wartawan Malaysiakini yang berkunjung ke IJN waktu itu diberitahu kakitangan pusat rawatan berkenaan bahawa Dr Lo' Lo' sedang menjalani rawatan fisioterapi di situ.

Selepas rawatan tersebut, beliau dilaporkan muncul dalam satu program PAS pertengahan bulan ini di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur dalam keadaan kesihatannya masih terganggu.

Akhbar web rasmi parti itu Harakahdaily.net 14 September lalu menyebut, beliau berucap ringkas dalam keadaan "kepenatan" dan "bernafas dengan laju" di program tersebut bersempena Ramadan bagi meraikan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan, yang menjadi tumpuan mereka yang bergelandangan dan kawasan pelacuran kelas bawah.

"Maafkan saya kerana bertopeng. Bukan kerana tuan dan puan tetapi kerana masalah kesihatan radang saya yang tidak mengizinkan dan cukup berisiko tinggi apabila berada di khalayak umum," Dr Lo' Lo' dipetik berkata.