Kempen pengharaman penggunaan beg plastik akan dilaksanakan sebagai langkah ke arah memelihara alam sekitar dan mempromosikan teknologi hijau, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata sebagai langkah permulaan, kempen itu akan dilaksanakan di peringkat kementerian sebelum diperluaskan ke pusat membeli-belah dan seterusnya ke seluruh negara.

"Kita semua harus memulakan kempen pengharaman penggunaan beg plastik misalnya oleh pengusaha kantin yang beroperasi di premis kementerian ini.

"Kita perlu amalkan tabiat harian di mana makanan tidak lagi dibungkus dalam bekas-bekas plastik yang tidak mesra alam dan boleh mencemarkan alam sekitar," katanya selepas melancarkan Buku Panduan Insentif Tenaga Boleh Diperbaharu dan Kecekapan Tenaga di Malaysia di Putrajaya hari ini.

Katanya, pada masa ini, pelaksanaan untuk mengadakan kempen itu masih di peringkat perbincangan dengan kementerian lain seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Chin berkata satu persidangan dan pameran antarabangsa mengenai teknologi hijau akan diadakan di negara ini pada Oktober tahun depan dengan penyertaan terbesar oleh pihak kerajaan, swasta dan industri.

Katanya, persidangan dan pameran itu akan menjadi platform untuk memperkenalkan Malaysia sebagai antara beberapa negara di dunia yang memberi perhatian khusus kepada teknologi hijau.

"Persidangan itu merupakan usaha yang diamanahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat satu persidangan atau pameran yang mempunyai piawaian antarabangsa diadakan di negara kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata buku panduan yang dilancarkan itu bagi memberi maklumat mengenai insentif fiskal yang disediakan kerajaan bagi penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharu dan pelaksanaan langkah kecekapan tenaga termasuk kualiti tenaga elektrik.

Katanya, buku panduan yang disediakan sebagai rujukan kepada penjana dan pengguna tenaga khususnya tenaga elektrik dalam sektor industri dan komersial akan mula diedarkan hari ini.

Katanya, salinan buku boleh diperoleh daripada kementerian berkenaan, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, Suruhanjaya Tenaga serta Pusat Tenaga Malaysia dan versi elektronik buku tersebut boleh dimuat turun dari laman web agensi berkenaan. BERNAMA