Burung merpati bawa pulangan baik
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan penduduk di Kelantan mengusahakan ternakan burung merpati yang menjanjikan pulangan lebih baik berbanding ternakan puyuh.
Beliau berkata ternakan burung merpati mempunyai potensi untuk dipasarkan sebagai makanan kesihatan.
"Idea ini saya perolehi ketika melawat negara Mesir tidak lama dahulu di mana perusahaan ternakan burung merpati amat menggalakkan sebagai makanan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Raya Nirwana Baru, di Pekan Baru Kubang Kerian, dekat Kota Bharu hari ini.
Beliau berharap pihak berwajib di sektor pertanian mencari kaedah teknologi yang sesuai bagi memudahkan orang ramai, khususnya petani, untuk menceburi bidang penternakan burung merpati.
Mengenai pasaran, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu pasti tiada masalah kerana produk burung merpati boleh dipasarkan di pasar-pasar tani dan pasar raya.
Katanya, di Kelantan sahaja kini terdapat 17 pasar tani dan 10 buah pasar raya. BERNAMA

