Malaysiakini BERITA

PAS gagal, dekati pengundi waktu p'raya

Jimadie Shah Othman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 6.40pm Kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka.

"Sejauh mana kita serius berkhidmat di estet-estet? Ini pengalaman saya bersama Kelab Penyokong PAS (KPP).

"Orang India inilah yang beri sokongan kepada kita. Kalau kita tidak serius, (kecuaian) itu tidak baik," kata ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau, yang juga pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu, diminta mengulas prestasi buruk parti itu di kerusi DUN tersebut semalam apabila, sekurang-kurangnya, gagal mengurangkan majoriti BN.

Ahli parlimen itu berkata sikap Pakatan yang hanya mendatangi pengundi di saat akhir menjelang pilihan raya mestilah dihindari jika PAS dan gabungan pembangkang mahu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian sedikit sebanyak mempunyai pendapat yang sejajar dengan Dr Dzulkefly.

Dr Sivamurugan berkata, PAS memberikan lebih tumpuan isu rasuah dan integriti sehingga menenggelamkan isu kebajikan - yang pernah dianggap berjaya meraih perhatian pengundi bukan Melayu.

"Pembangkang kali ini banyak memainkan isu korupsi dan integriti.

"Tetapi selepas 18 bulan memerintah (di negeri-negeri Pakatan), mereka perlu memikirkan strategi lain, dengan menimbulkan isu-isu kebajikan," katanya.

"Kalau kita lihat, dalam pilihan raya umum sebelum ini, sokongan India dan Cina diperoleh daripada isu kebajikan."

NONE Dr Dzulkefly mengakui, isu-isu berbangkit di peringkat nasional – seperti kontroversi penjualan arak di Selangor dan perobohan rumah di Kg Buah Pala, Pulau Pinang – sedikit sebanyak memberikan kesan penduduk di kawasan-kawasan lain.

"Kita tidak boleh lagi membuat andaian bahawa isu di peringkat (sesebuah) negeri dan pusat tidak membawa kesan di negeri lain," katanya, diminta mengulas analisis ringkas akhbar web rasmi parti Harakahdaily .

"Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah tidak ada kesan di Bagan Pinang. Ada (kesan)."

Akhbar web itu dalam analisis segera sejurus selepas keputusan diumumkan menyebut, pengundi Cina di Bagan Pinang menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis lengkap keputusan penuh pilihan raya itu dibuat.

Menurut Dr Dzulkefly, daripada awal lagi PAS beranggapan kerusi itu sukar ditawan kerana Bagan Pinang kerusi tradisi BN dan terdapat banyak pengundi pos di situ.

Selain itu, katanya, terdapat sentimen pengundi yang “termakan budi” kepada Isa – yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan kira-kira dua puluh tahun.

"Mereka ada keupayaan untuk memberi, sama ada projek, subsidi, tanah dan imbuhan. Sedikit sebanyak penduduk akan termakan budi," katanya.

Bekas menteri besar Tan Sri Mohd Isa Samad menggandakan majoriti BN kepada 5,435 undi apabila mendapat 8,013 undi, meninggalkan jauh calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan hanya 2,578 undi.

Pada pilihan raya umum 2008 - rekod terburuk BN - parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Kejayaan BN semalam menebus maruah parti itu yang selama ini tercalar akibat kegagalan memenangi sebarang pilihan raya kecil di Semenanjung sejak sembilan kali ia diadakan.

BN juga berjaya menebus ketewasannya di tiga daripada lapan daerah mengundi pada Mac tahun lalu, semuanya didominasi pengundi bukan Melayu: Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong (lihat carta bawah) .

Kemenangan Isa itu, selain membuktikan ketokohannya masih utuh walaupun tercalar dengan isu rasuah, juga menunjukkan pengundi bukan Melayu berpatah balik bersama BN.

azlan