Tiga sayap Umno mula bersidang
Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno hari ini mengadakan perhimpunan agung masing-masing secara berasingan dan sekali gus memulakan perbincangan bagi pindaan perlembagaan parti itu, yang akan dibentangkan dalam satu perhimpunan agung khas parti itu esok.
Para perwakilan dijangka membincangkan cadangan pindaaan perlembagaan itu sewaktu mereka membahaskan usul ucapan dasar ketua pergerakan masing-masing.
Pindaan perlembagaan itu merupakan sebahagian daripada usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku presiden Umno untuk mentransformasi parti itu secara menyeluruh bagi membolehkannya kekal sebagai pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Ketiga-tiga ketua sayap parti itu, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, menyampaikan ucapan sulung mereka selepas peralihan kepimpinan pergerakan masing-masing pada perhimpunan agung Umno 2008, Mac lalu.
Perhimpunan agung Wanita berlangsung di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Dr Ismail manakala Puteri di Dewan Tun Hussein Onn. Mesyuarat bermula pada pukul 8.30 pagi.
Seramai 795 perwakilan masing-masing menghadiri perhimpunan agung Wanita dan Pemuda manakala sejumlah 789 perwakilan mengambil bahagian dalam perhimpunan agung Puteri. BERNAMA

