Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu rumah Indonesia didera meninggal dunia
Diterbitkan:  Oct 26, 2009 6:04 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Pembantu rumah warga Indonesia, yang ditemui separuh pengsan dengan kesan lebam dan luka hampir seluruh badan, dipercayai

didera oleh majikannya di dalam tandas sebuah rumah di Taman Sentosa di Klang meninggal dunia hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mantik Hani, 36, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas.

Pengarah HTAR, Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar.

"Mangsa sepatutnya menjalani pembedahan tetapi ia tidak dapat diteruskan disebabkan keadaannya tidak mengizinkan," kata beliau ketika ditemui pemberita di HTAR hari ini.

Dua pegawai wanita yang mewakili pejabat Kedutaan Indonesia di Malaysia turut berada di HTAR untuk melawat mangsa tetapi membatalkan rancangan itu selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia.

Pembantu rumah terbabit pada 20 Oktober lepas ditemui dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dipercayai didera, dikurung dalam tandas, kepala dicukur hampir botak dan tidak diberi makan beberapa hari oleh majikannya.

Polis menyelamatkan pembantu rumah itu pada pukul 7 petang hari sama selepas menerima laporan mengenai penderaan itu daripada seorang tukang sapu yang bertugas membersihkan kediaman rumah suspek, dan terus menghantar wanita berkenaan ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Susulan itu, polis menahan reman majikan pembantu rumah itu, yang bekerja sebagai peniaga pasar dan isterinya untuk membantu siasatan.

Lelaki itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan direman sehingga 28 Okt manakala isterinya direman sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata dua suspek itu disiasat kini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan pihaknya masih mencari saksi untuk membantu siasatan termasuk ibu majikan dan bekas majikan pembantu rumah itu.

"Jenazah mangsa akan dilakukan bedah siasat di HTAR bagi menentukan punca kematiannya," katanya. Bernama

ADS