'Henti kenyataan tidak bantu perpaduan MCA'
Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini meminta supaya semua pihak berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang tidak membantu dalam membina perpaduan parti.
Katanya, sesiapa sahaja yang waras fikirannya pasti tahu apa yang perlu diutamakan, dan apa yang perlu dielak demi kepentingan masyarakat, rakyat dan negara.
Beliau yang juga menteri pengangkutan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pameran Marseilles Fos Port Authority roadshow di Petaling Jaya hari ini, lapor Bernama.
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa beliau langsung tidak tahu menahu mengenai rancangan perdamaian yang dicadangkan oleh presiden parti, Ong berkata:
"Harus diingat, dia (Liow) juga berada di sana semasa cadangan itu diutarakan".
Ong berkata beliau menerima banyak sokongan untuk rancangan perdamaian itu daripada akar umbi sejak beberapa hari lalu, terutama dari peringkat bahagian, malah dari sayap wanita dan pemuda di peringkat bahagian dan negeri.
Apa yang penting bagi parti adalah untuk kekal fokus dan tidak dipesongkan oleh sebarang kenyataan yang tidak kondusif untuk perpaduan parti, katanya.

