BERITA Malaysiakini

PM pertikai motif Dr Asri ditahan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoal motif penahanan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Perdana menteri berkata ramai lagi individu yang berceramah namun tidak ditahan serta didakwa.

"Saya tidak tahu apa motifnya. Tindakan ini (penahanan Dr Mohd Asri) dibuat oleh (jabatan agama) kerajaan negeri (Selangor). Ia tiada kena-mengena dengan kerajaan pusat.

"Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pula, tetapi bila Dr Mohd Asri (berceramah), dia ditahan?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di PWTC di Kuala Lumpur.

Najib diminta mengulas penahanan Dr Mohd Asri oleh Jais di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 orang.

Perdana menteri berkata Dr Mohd Asri merupakan seorang pendakwah yang bercakap secara terus-terang dalam ceramahnya dan disokong dengan dalil serta nas-nas yang nyata serta konkrit.

Mengenai dakwaan kononnya bekas mufti itu ditahan kerana dikaitkan dengan fahaman Wahabi, Najib berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Kena tanya mereka (Jais)," katanya.

Jais dipercayai menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lepas kerana didakwa cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin, tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pula meminta Jais supaya segera memberikan penjelasan mengenai penahanan Dr Mohd Asri kerana tindakan jabatan itu akan menimbukan kekeliruan dalam kalangan umat Islam memandangkan bekas mufti itu diketahui tidak memihak kepada mana-mana parti dan sering memberi syarahan agama yang turut dihadiri menteri selain diundang berceramah di televisyen.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau ingin tahu tauliah macam mana lagi yang Jais hendak kerana Dr Mohd Asri mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pengajian Islam dan juga merupakan bekas mufti.

"Kita tidak boleh menolak fahaman itu (Wahabi). Bagaimana kita hendak solat di Mekah jika kita menolak Wahabi," katanya. BERNAMA