Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa keputusan kerajaan pusat memberi wang ehsan minyak kepada kerajaan PAS Kelantan, ada kaitan dengan spekulasi pilihan raya mengejut akan diadakan di peringkat pusat.

Spekulasi mengenai perkara itu tersebar luas ekoran tanggapan umum bahawa kerajaan pusat akan hanya memberi wang ehsan seumpama apabila pilihan raya sudah dekat.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, perdana menteri sebaliknya bertanya apa kaitan pemberian wang ehsan kepada Kelantan itu, dengan pilihan raya mengejut.

Sementara itu, perdana berkata, meskipun pembayaran wang ehsan kepada Kelantan tidak besar, ia akan dilakukan secara telus.

"Ia merupakan peruntukan tambahan yang akan disalurkan kepada rakyat Kelantan mulai tahun depan (2010), lapor Bernama.

"Saya sudah menyatakan bahawa kami akan berbincang (wang ehsan) dengan kerajaan Kelantan, dan kami melaksanakannya dengan telus," katanya.

Perdana Menteri berkata jumlahnya bergantung kepada tahap pengeluaran minyak luar pesisir di negeri itu, namun dijangkakan pengeluaran awal tidaklah tinggi.

Najib berkata yang penting dan perlu disedari ialah peruntukan itu bertujuan membantu penduduk Kelantan.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan pusat memberi peruntukan lebih RM7 bilion kepada Kelantan," kata Najib.

Beliau berkata prinsip atau pengiraan yang sama digunakan untuk negeri-negeri lain, termasuk Terengganu.

Najib sebelum itu melancarkan Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2008 di Parlimen.

ADS