BERITA Malaysiakini

Manohara tewas disaman Tengku

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Gagal mengemukakan pembelaan terhadap saman suaminya Tengku Temenggong Kelantan, bekas model muda Manohara Odelia Pinot diarahkan membayar tuntutan kepada putera Sultan Kelantan itu.

Jumlah ganti rugi itu - yang dituntut Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra sebanyak RM105 juta - bagaimanapun akan ditetapkan kemudian.

manohara odelia pinot malaysiakini interview 290609 05 Penghakiman ingkar itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Manohara, yang bergelar Cik Puan Temenggong Kelantan, gagal melantik peguamnya dalam tuntutan saman suaminya.

Penolong kanan pendaftar mahkamah itu Shazali Hidayat Shariff menyatakan perintah ingkar itu di kamarnya hari ini.

Penghakiman ingkar merupakan satu keputusan yang berpihak kepada plaintif apabila defendan gagal mengambil tindakan terhadap saman atau tidak hadir di mahkamah.

Peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, berkata jumlah wang bukan persoalan utama tetapi anak guamnya dapat membersihkan nama terhadap tohmahan isteri dan mertuanya Daisy Fajarina, lapor Bernama .

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah yang sama membenarkan permohonan firma guaman Fakrul Hisham Abdullah & Associates menarik diri daripada mewakili Manohara, yang kini melarikan diri di Jakarta, dan Daisy.

Pada 20 Julai lalu, susulan krisis rumah tangga mereka yang berlarutan selama beberapa bulan, Tengku Muhammad Fakhry menfailkan saman terhadap kedua-dua warga Indonesia itu.

Plantif mendakwa defendan secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa pernyataan fitnah itu telah diterbitkan semula dalam media elektronik seperti The Jakarta Globe , Banjarmasin Post , Detiknews , Kompas.com , Global TV dan Malaysiakini , serta dilaporkan secara meluas dalam akhbar di Malaysia dan Indonesia.

Perkataan itu dirancang untuk memperkecil-kecilkan dan mengaibkannya di kalangan ahli kerabat diraja Kelantan, kerajaan Malaysia dan rakyat jelata, dakwanya lagi.

tengku fakhry manohara odelia pinot 260609 Putera ketiga Sultan Kelantan itu seterusnya mendakwa bahawa dakwaan dan sindiran itu tidak benar, tidak berasas dan menyebabkannya mengalami kerosakan serius kepada reputasi peribadi secara nasional dan antarabangsa.

"Defendan-defendan melafazkan perkataan-perkataan tersebut dengan didorong oleh keuntungan kewangan," dakwa Tengku Fakhry.

Plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah tersebut.

Putera sultan itu mengemukakan dua saman lain di Mahkamah Syariah Kota Bharu - yang didengar Ahad ini - satu agar Manohara diperintah pulang kepadanya dan satu lagi, menuntut kembali wang RM1 juta yang didakwanya dipinjam oleh Manohara.

Sehingga sekarang, Manohara dan Daisy tidak menjawab tuntutan Tengku Muhammad Fakhry itu.