mk-logo
Berita
MB salahkan Khir gagal kutip RM800 juta projek hutan

kemaskini 6.37pm Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalahkan bekas menteri besar Datuk Seri Mohamed Khir Toyo atas kegagalan negeri itu meraih hasil RM800 juta yang dijanjikan oleh pentadbiran BN sebelum ini.

Projek melibatkan syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu pendedahan kedua yang dilakukan menteri besar Selangor melalui satu risalah hari ini.

Abdul Khalid berkata, seperti juga risalah yang didedahkan Selasa lalu, pembongkaran maklumat mengenai Projek Penghutanan Semula ini dibuat bawah bidang kuasanya seperti diperuntukkan bawah Seksyen 2(C) Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Jelasnya, keempat-empat projek yang dipajakkan secara konsesi oleh PKPS kepada 12 buah buah syarikat swasta itu terletak di empat kawasan hutan simpan di daerah Hulu Langat.

Mengumumkan maklumat rahsia itu pada sidang media selepas persidangan DUN Selangor, Abdul Khalid berkata Dr Mohamaed Khir telah menjanjikan pulangan sejumlah itu daripada projek itu di tanah seluas 10,900 hektar.

"Pada 2001, kenyataan daripada Khir Toyo menyatakan yang PKPS akan mendapat keuntungan RM800 juta,” katanya. "Buat masa ini perkataan juta-juta pun tak ada."

Abdul Khalid juga menjelaskan, pendapatan itu sepatutnya diperolehi melalui kutipan royalti daripada balak yang ditebang serta hasil daripada pajakan kepada 12 syarikat berkenaan.

Tambahnya, beliau membuat pendedahan tersebut dengan harapan syarikat-syarikat berkenaan akan membuat penjelasan mengenai projek yang disifatkan "merugikan rakyat Selangor."

"Kepada saya, (projek) ini adalah satu kerugian yang besar. Jadi dengan cara (pendedahan) ini kita minta syarikat-syarikat ini memberitahu," katanya.

Abdul Khalid berkata, risalah setebal 12 halaman itu menerangkan mengenai projek penghutanan semula yang dijalankan sepanjang sejak tujuh tahun lalu.

Jelasnya lagi, projek itu dijalankan dengan menebang kayu balak di kawasan berkenaan dan menggantikannya dengan beberapa tanaman kayu balak termasuk tanaman getah.

"Awak tebang pokok hutan, kerajaan negeri tidak dapat hasil. Awak tanam getah, kerajaan kena bayar pula harga getah yang mahal. Ini kerja apa kita buat ini?" katanya.

Salinan risalah berkenaan projek tersebut diedarkan kepada wartawan dalam sidang media itu.

Risalah berkenaan menyenaraikan keseluruhan 12 buah syarikat pemajak yang terlibat dalam keempat-empat projek itu dan juga menamakan pengarah syarikat tersebut.

Menurut risalah itu, tujuh buah syarikat diberikan pajakan untuk Hutan Simpan Rantau Panjang, manakala sebuah syarikat lagi memajak Hutan Simpan Bukit Tarek. Dua buah lagi terlibat memajak hutan di Sungai Jeloh, manakala dua syarikat di hutan Bukit Belata.

"Apa yang menarik, tanah-tanah di Selangor ini bukan diberikan kepada orang sini (Selangor) tetapi orang Melaka," katanya, sambil membacakan nama salah seorang pengarah syarikat tersebut.

"Dia duduk di Kampung Lapan, Melaka. Pemuda ini namanya Tan Chi Meng, (menurut risalah ini) dia lahir pada 1980.

"Dia masih muda, tapi dia sudahpun ada sebuah hutan kecil," kata Khalid, sinis.

Turut dilampirkan dalam risalah berkenaan, butiran perjanjian usaha sama di antara PKPS, kerajaan negeri dan juga syarikat-syarikat yang memajak tanah berkenaan.

Butiran itu turut mendedahkan unjuran keuntungan dan jumlah keuntungan sebenar yang diperolehi PKPS dan juga syarikat pemajak sehingga Oktober tahun ini.

Abdul Khalid menjelaskan, projek-projek berkenaan telah diluluskan semasa pentadbiran BN tanpa melalui proses tender dan ia juga diberikan kepada individu tertentu sahaja.

"Selalunya ada corak, orang yang sama atau syarikat yang sama yang dapat," katanya.

"Jadi beberapa persoalan yang akan kita jawab, mengapa mereka ini dapat? Tapi daripada kajian kita, mereka tidak pernah ada kepakaran dalam penghutanan ini."

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini