BERITA Malaysiakini

NSTP diarah bayar RM100,000 pada Anwar

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan New Straits Times Press (M) membayar gantirugi RM100,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyiaran satu artikel berunsur fitnah pada 2002.

Mahkamah juga memerintahkan supaya syarikat media itu membayar kos RM20,000 kepada ketua umum PKR itu.

Sebelum itu, mahkamah memutuskan bahawa NSTP telah memfitnah Anwar dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada 2 Mac 2002.

Artikel tersebut yang bertajuk 'Anwar's link to US lobbyist' mendakwa ketua pembangkang itu menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai hubungan dengan kepentingan Barat. Artikel itu berdasarkan kepada satu laporan yang disiarkan dalam majalah New Republic.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Harminder Singh Dhaliwall berkata NSTP tidak boleh menyandarkan pembelaannya atas alasan kelayakan terhad kerana artikel tersebut berniat jahat dan lebih daripada sekadar menerbitkan semula artikel majalah New Republic .

Oleh itu, katanya, mahkamah mendapati artikel tersebut berunsur fitnah dan defenden perlu membayar gantirugi kepada Anwar.

Anwar telah memfailkan saman RM100 juta terhadap NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Tan Sri Abdullah Ahmad berhubung penyiaran artikel tersebut. Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.

Artikel NSTP itu berdasarkan kepada satu lagi artikel - 'The Bush Administration's dubious envoy to Taiwan' - yang disiarkan dalam edisi Mac 2000 majalah mingguan politik New Republic.

[Baca berita penuh]