Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bahan letupan rosakkan restoran
Diterbitkan:  Nov 30, 2009 5:58 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Sebuah restoran di Stulang, Johor Bahru, yang bakal beroperasi Sabtu ini mengalami kerosakan serius akibat satu letupan dari

dalam premis berkenaan, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kejadian di restoran Stulang Corner, di Jalan Pandan 1, yang hampir 80 peratus siap diubahsuai itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi tadi.

"Polis menerima maklumat berlaku satu letupan di premis yang disewa itu kira-kira pukul 4.30 pagi.

"Siasatan mempercayai kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Jalaluddin berkata bahan letupan itu dipercayai diletakkan di dalam premis tersebut dan unit forensik serta Jabatan Kimia ketika ini sedang menyiasat jenis bahan letupan yang digunakan.

Beliau berkata polis sudah mengenal pasti dua atau tiga orang suspek yang terlibat, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dibuat.

Katanya, tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian itu.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan yang mahu dikenali sebagai George, 40-an, berkata dia membelanjakan sebanyak RM200,000 untuk membuat pengubahsuaian restoran berkenaan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan sebahagian dinding, bahagian belakang, siling dan rak kaca peragaan makanan di premis itu mengalami kerosakan.

"Saya tidak tahu punca kejadian ini. Mungkin ada orang dengki terhadap saya," katanya. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS