Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Taman Che Siti Wan Kembang hanya mitos
Diterbitkan:  Dec 10, 2009 6:53 PM
Dikemaskini: 4:40 PM

Taman Serendah Sekebun Bunga di Ketereh dekat Kota Bharu yang didakwa sebuah taman purba peninggalan Che Siti Wan Kembang,

wanita yang menerajui pemerintahan Kelantan seketika dahulu, hanyalah satu mitos, kata yang dipertua Majlis Daerah Kota Bharu.

Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata MDKB dan Muzium Sejarah telah menjalankan kajian di situ dan tidak menemui sebarang fakta tinggalan sejarah seperti yang didakwa penduduk di sekitar kawasan itu.

"Penduduk mendakwa kawasan itu menjadi tempat permainan dan bersuka ria baginda dan anak angkatnya Puteri Saadong tetapi dalam kajian oleh muzium, mereka langsung tidak menemui sebarang tinggalan sejarah yang boleh mengesahkan dakwaan penduduk itu," katanya kepada Bernama hari ini.

MDKB pernah memasukkan kawasan itu dalam laman webnya sebagai satu tempat menarik untuk dikunjungi tetapi kini telah mengeluarkan nama kawasan itu daripada senarai.

Tengku Azmi berkata dengan mengeluarkan kawasan itu daripada senarai tempat menarik untuk dikunjungi, MDKB tidak lagi berhasrat untuk memajukan kawasan itu sebagaimana dirancang sebelum ini.

Selain itu, katanya, tanah di kawasan itu adalah milik persendirian dan tuan tanah itu dikatakan tidak membenarkan kawasan itu dimajukan.

"Kita meminta penduduk supaya tidak lagi mengatakan MDKB tidak menjalankan tanggungjawab untuk cuba memelihara kawasan sejarah itu kerana ia tanah persendirian dan bukan lagi tanggungjawab kita," katanya. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS