Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin: Lembaga disiplin bukan dengar isu Allah

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa Zulkifli Noordin bukan dihadapkan ke lembaga disiplin berhubung pendiriannya mengenai isu Allah atau agama Islam, tetapi kerana tindakannya membuat laporan polis terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat, Khalid Samad.

Saifuddin menganggap tindakan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu itu yang cuba mengheret sentiman perkauman dan keagamaan dalam prosiding lembaga disiplin, sebagai tidak wajar.

"Prosiding itu adalah mengenai laporan polis yang dibuat oleh Zulkifli terhadap Khalid.

"Ianya hanya mengenai isu tersebut. Ia tidak ada kena mengenai dengan isu Allah yang didakwanya itu," kata Saifudin.

Lembaga disiplin, katanya, telah memperjelaskan pendiriannya mengenai prosiding tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Zulkifli telah menolak penjelasan lembaga tersebut dan bertindak keluar.

Siang tadi, Zulkifli masuk menghadap lembaga jawatankuasa dispilin parti tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

Zulklifi dilaporkan mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Sehubungan itu, Zulkifli mendesak kepimpinan PKR supaya membubarkan lembaga disipilin tersebut dan menubuhkan lembaga disiplin baru yang terdiri dari ahli panel yang beragama Islam.

Namun begitu, kata Saifuddin, lembaga berkenaan akan mengemukakan perakuan kepada beliau.

"Saya akan membentangkannya kepada majlis pimpinan pusat (MPT) Sabtu ini," katanya.

Saifuddin berkata, majlis tersebut akan membincangkan langkah seterusnya dan zulkifli boleh merayu terhadap keputusan tersebut.

Mengenai ancaman Zulkifli untuk keluar parti jika lembaga tersebut tidak memenuhi tuntutannya, Saifuddin berkata, ia terpulang kepada ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu tersebut.

 

ADS