Bahang pemilihan MCA, tohmahan mula dilontar
Bekas presiden MCA Tan Sri Ong Ka Ting hari ini menyelar pucuk pimpinan parti sekarang kerana menyalahkan orang lain bila berlaku sesuatu yang tidak kena atau mereka berdepan dengan sesuatu masalah.
Tanpa menamakan sesiapa, beliau berkata, ketika banyak usaha baik dilakukan beliau, pujiannya diberikan kepada beberapa orang tertentu.
Mengulas peletakan jawatan ahli dewan undangan negeri Titi Tinggi, Yip Sun Onn pada Isnin lalu yang dikatakan berlaku selepas beliau digugurkan sebagai anggota exco Perlis sebagaimana mengikut sistem penggiliran parti, Ka Ting berkata:
"Pucuk pimpinan sekarang boleh mengkajinya mengikut keadaan. Namun, bila ia berdepan dengan masalah, ia menyalahkan saya...jadi, saya tak faham bagaimana logiknya.
"Anda tak boleh katakan itu kerana terdapat persetujuan mengenai sesuatu pada masa lalu, pucuk pimpinan meneruskannya secara membabi buta...saya tak kata bahawa keputusan ini (sistem penggiliran) betul atau salah.
"Prinsipnya begini. Pucuk pimpinan sekarang harus berani memikul tanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang dibuat...(mereka) tak boleh kata ia diputuskan semasa penggal Ong Ka Ting," katanya kepada pemberita semasa mesyuarat dengan wakil-wakil dan anggota akar umbi MCA Sabah di Kota Kinabalu.
Sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat ketika mengulas peletakan jawatan Yip memberitahu
Bernama
apa yang dilakukannya adalah berdasarkan fakta.
"Semalam saya nyatakan bahawa apabila saya mengambil alih jawatan presiden, saya selesaikan sesetengah masalah itu serta sesetengah isu tertangguh termasuk pelantikan anggota exco yang dibuat oleh Tan Sri Ong Ka Ting (ketika itu Datuk) semasa beliau memegang jawatan tersebut dan tentulah saya perlu buat susulan dan semua ini dibuat secara hitam putih, bukan cakap-cakap sahaja dan secara lisan," katanya di Klang hari ini.
Yip dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan Adun selepas digugurkan sebagai anggota exco Perlis dan digantikan dengan Adun MCA Indera Kayangan, Dr Por Choo Chor, dalam rombakan yang diumumkan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu pada Jumaat lalu.

