Zahrain dakwa dihalang serah surat tuntutan
Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim hari ini tidak dapat menyerahkan surat tuntutan terhadap Lim Guan Eng berhubung satu dakwaan fitnah, apabila peguamnya tidak dibenarkan memasuki pejabat ketua menteri itu.
Peguamnya, Haniff Khatri berkata, surat tuntutan itu enggan diterima oleh setiausaha politik ketua menteri, Ng Wei Aik dan pembantu khas ketua menteri, Ong Beng Guat.
"Saya dimaklumkan oleh pembantu peribadi dan setiausaha politik ketua menteri itu bahawa mereka telah diarahkan untuk tidak menerima surat tuntutan itu bagi pihak ketua menteri dan kami juga tidak dibenarkan naik ke tingkat 28, iaitu pejabat ketua menteri untuk menyerahkan surat itu," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, anak guamnya akan mengambil tindakan lanjut termasuk menghubungi peguam Lim, iaitu Karpal Singh bagi memastikan Lim menerima surat tuntutan itu.
Katanya, setelah menerima surat tuntutan itu, Lim akan diberi tempoh tujuh hari menjawabnya sebelum satu tindakan undang-undang diambil terhadap setiausaha agung DAP itu.
Sebelum ini, Lim telah membuat kenyataan bahawa Zahrain keluar PKR kerana gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort di Pulau Pinang menerusi sebuah syarikat RM2.
Zahrain berkata, beliau juga akan mengambil tindakan yang sama terhadap setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, jika didapati memfitnah dengan mengatakan beliau menggunakan projek golf untuk membayar hutang bernilai RM1.8 juta.
- Bernama

