mk-logo
Berita
Khidmat masyarakat: Peguam Muslim bantah
Diterbitkan:  Apr 2, 2010 5:43 AM
Dikemaskini: Apr 3, 2010 5:35 AM

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini menzahirkan perasaan dukacita mereka dengan arahan Sultan Pahang yang meringankan hukuman sebatan syarie ke atas bekal model Kartika Sari Dewi Sukharnor kepada perintah menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan.

Kartika Sari Dewi Shukarno Menurut PPMM, titah Sultan itu langsung tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika yang sebelum ini mahu disebat secara syarie atas kesalahannya itu dilaksanakan.

Kartika ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

“PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang kerana walaupun bertindak sebagai ketua agama negeri KDYMM Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah.

“Hak dan ku NONE asa sebagai ketua agama hendaklah dijalankan mengikut hukum agama itu sendiri,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan di Bangi, Selangor.

Kata PPMM lagi, undang-undang Islam telah menetapkan secara definitif hukuman bagi kesalahan meminum arak.

“Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ianya hendaklah dilaksanakan juga kerana ia lebih hampir kepada hukum syarak.”

Sebatan syarie amat ringan

Menurut PPMM, mereka juga musykil peringanan hukuman itu yang didakwa berasakan faktor kemanusiaan sedangkan hukuman berkenaan sendiri adalah amat ringan dan mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

“Sebatan syariah amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencedera dan menzalimi pesalah. Sebatan syariah lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anaknya,” kata kenyataan itu.

NONE PPMM berkata undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan memperuntukkan kaedah peringanan hukuman bagi pesalah syariah.

“Peringanan hukuman bagi kesalahan syariah pula hendaklah dibuat atas nasihat Mufti. Mufti pula bertanggungjawab menasihati DYMM Sultan berdasarkan hukum syarak.

“Dalam hal yang demikian PPMM tidak dapat menggarap peruntukan yang manakah terpakai kepada peringanan hukuman kepada kerja kebajikan ini,” kata kenyataan itu.

Menurut PPMM lagi, tindakan beberapa ahli-ahli politik termasuk menteri-menteri dan kumpulan NGO  lain berhubung isu itu jelas membelakangkan undang-undang Islam dalam pendirian mereka mengaut keuntungan politik atau populariti.

Kartika mula jalani khidmat masyarkat

“Setiap undang-undang yang ditetapkan oleh Allah itu mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan kadang-kadang menjangkaui logik akal manusia. Oleh itu, kita  tidak boleh menggunakan akal fikiran sendiri bagi menandingi ketetapan Allah itu.”

Berikutan titah Sultan Pahang itu, Kartika memulakan hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, di Kuantan  kira-kira jam 9.35 pagi tadi.

Sebelum itu, beliau diberi taklimat di Bahagian Penguatkuasa di Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) selama 20 minit.

Kartika menerima sepucuk surat Rabu lalu yang memaklumkan mengenai keputusan itu.

Kartika Sari Dewi Shukarno Surat berkenaan ditandatangani Timbalan Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Surat tersebut berbunyi:"Menjunjung titah perintah kebawah Duli Yang Maha mulia Sultan Pahang, saya dengan ini memaklumkan kepada Puan bahawa berikutan daripada Majlis Mengadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang diadakan pada 3 Mac 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sulatan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang telah berkenan memutuskan bahawa sebagai ganti kepada hukuman sebat Puan dititah perintah supaya menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatima, Kuantan di alamat Jalan Tengku Muhammad, 25050 Kuantan selama 3 minggu mulai 2 April 2010."

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS