Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
BN, Keadilan dan DAP berentap dalam pilihanraya kecil Gaya
Published:  Oct 3, 2002 4:35 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Calon-calon dari tiga parti Barisan Nasional (BN), DAP dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) mengemukakan borang pencalonan masing-masing pagi ini untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Parlimen Gaya, minggu depan.

Mereka ialah naib presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Liew Teck Chan yang mewakili BN, Hiew King Chew dari DAP dan Christina Liew dari Keadilan.

Menurut laporan Bernama , Hiew merupakan yang paling awal mengemukakan borang pencalonannya pada jam 9.25 pagi.

Lima minit kemudian Liew dari BN, tiba di pusat penamaan calon di Dewan Maksak di Kota Kinabalu, dan disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 5,000 penyokong BN.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Menteri Datuk Chong Kah Kiat serta pemimpin parti komponen BN turut mengiringi calon BN berarak kira-kira 200 meter dari Pusat Dagangan Sabah menuju ke pusat penamaan calon.

Sejurus selepas itu, Christina Liew daripada Keadilan mengemukakan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pilihanraya, Alijus Sipil.

Calon pembangkang

Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengiringi Liew, seorang peguam. Lebih kurang 100 penyokong Keadilan berhimpun di pusat penamaan calon itu untuk memberi sokongan kepada calon mereka.

Sehingga tempoh pencalonan ditutup pada jam 11 pagi ini tiada lagi yang mengemukakan pencalonan.

Calon-calon bagi pilihanraya kecil itu, termasuk kedudukan mereka dalam kertas undi akan diumumkan hari ini.

Kerusi Parlimen Gaya kekosongan selepas penyandangnya Datuk Yong Teck Lee dari SAPP hilang kelayakan sebagai wakil rakyat ekoran keputusan Mahkamah Pilihanraya pada tahun lalu bahawa beliau telah melakukan amalan rasuah semasa pilihanraya negeri Sabah pada 1999.

Pada pilihanraya umum 1999, Yong mendapat 15,315 undi, menewaskan dua lagi calon dengan majoriti 4,117 undi. Gaya mempunyai 49,427 undi, termasuk 76 pengundi pos.

Masyarakat Cina merupakan majoriti di Gaya mewakili 19,122 orang pengundi (38.69 peratus), diikuti oleh Bumiputera bukan Islam sebanyak 16,463 (33.3 peratus); Bumiputera Islam 10,699 (21.64 peratus); India 394 (0.8 peratus) dan yang lain 2,749 (5.56 peratus).

ADS