Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan diminta longgar syarat di Taman Warisan
Diterbitkan:  Jun 3, 2010 4:16 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Kerajaan negeri Kelantan disaran melonggarkan syarat persembahan kesenian makyong di Taman Budaya Negeri nanti, apabila pusat kesenian pertama di Kelantan yang bernilai RM15 juta itu siap dan beroperasi sepenuhnya September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Rosliza Rofli berkata jika syarat itu tidak dilonggarkan ia membantut usaha pihak jabatan untuk mengetengahkan kesenian itu sebagai warisan dunia.

"Kelonggaran kerajaan negeri juga akan memberi nafas baru kepada usaha Akademi Seni dan Warisan (Aswara) untuk menjadikan persembahan makyong sebagai mata pelajaran wajib di akademi itu," katanya kepada Bernama pada majlis penutup Bengkel Pemantapan Kumpulan Perintisan Mak Yong Kijang Emas, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata Taman Budaya Negeri yang menempatkan auditorium yang mula dibina sejak tiga tahun lepas di Tanjung Chat itu mampu menampung hampir 1,000 penoton pada satu masa.

Katanya antara kelonggaran syarat itu ialah membenarkan persembahan makyong diadakan secara berkala bukan sahaja untuk tontonan pelancong tetapi juga buat masyarakat tempatan.

    

Rosliza berkata syarat-syarat ketat yang dikenakan negeri mengikut enakmen Hiburan dan Kebudayaan Negeri ini menyebabkan persembahan makyong terpaksa dibawa keluar negeri.

Antara syarat itu ialah tidak membenarkan penglibatan wanita berumur 12 tahun ke atas dalam persembahan itu di samping peraturan berhubung tempat duduk penonton lelaki dan wanita.

"Saya harap dengan perbincangan yang dapat diadakan di antara pihak kerajaan negeri dengan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, hasrat kami dapat direalisasikan," katanya.

Lebih 50 peserta terbabit dalam bengkel Pemantapan Kumpulan Perintisan yang dikendalikan oleh Makyong Kijang Emas Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, yang tamat hari ini.

"Kumpulan Makyong Kijang Emas akan dijadikan kumpulan budaya tetap untuk mengadakan persembahan di Taman Budaya ini yang dimasukkan dalam kalendar kegiatannya," kata Rosliza.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS