Demonstrasi tuntut royalti minyak K'tan
Kira-kira 300 orang berhimpun di perkarangan Pusat Tarbiyyah Islamiah (PUTIK) di Kota Bharu - tempat berlangsungnya muktamar PAS - bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kegagalan negeri itu mendapatkan wang royalti minyak.
Dipimpin oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Latiff Abdul Rahman, beliau memimpin bacaan doa antaranya meminta Allah menjatuhkan kerajaan BN jika mereka "terus menzalimi dan menafikan hak rakyat Kelantan".
Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa turut terlibat dalam perhimpunan ringkat yang dipenuhi kain rentang bertulis "Kami Mahukan Royalti".
Berucap di perhimpunan tersebut, Husam berkata, Kelantan akan membawa tuntutan royalti negeri itu ke mahkamah 30 Ogos nanti selepas beberapa tindakan secara rundingan dilihat tidak membuahkan hasil.
"Sebenarnya kita nak bawa pada hari kemerdekaan 31 Ogos, tapi oleh kerana mahkamah tidak berkerja pada hari tersebut, kita awalkan sehari," katanya.
Isu itu, sebelumnya turut disentuh oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya di muktamar tersebut sebelum itu yang menyifatkan tindakan kerajaan pusat sebagai "tidak menghormati semangat federalisme".
"Semuanya dilakukan dengan memutar belit akta petrolium dan perjanjian yang dimeteraikan di antara kerajaan negeri dan Petronas.
"Sejarah tidak dapat menafikan bahawa perampasan royalti minyak Terengganu adalah keputusan politik yang didesak dalam perhimpunan agung Umno tahun 2000.
"Dan mereka meneruskan tindakan zalim ini terhadap rakyat Kelantan," katanya.

