Isu berhubung dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) MCA Pulau Pinang, tidak perlu terus berlanjutan dibincangkan secara terbuka kerana ianya boleh diselesaikan melalui saluran dalaman Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Sudah terlalu banyak yang telah diperkatakan oleh pihak-pihak terbabit mengenai isu tersebut melalui media massa. Jadi tak payahlah saya tambah lagi," katanya kepada malaysiakini .

Adun Jawi, Tan Cheng Liang dan Datuk Keramat, Lim Boo Chang berkecuali dalam pengundian menentang usul DAP yang meminta Projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) ditangguhkan sewaktu sidang dewan pada 21 Nov lalu dan tindakan itu dikecam hebat parti komponen BN, termasuk mendesak MCA menyingkirkan mereka.

Kedua-dua akan memberi keterangan kepada jawatankuasa disiplin MCA Jumaat ini sebelum MCA membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan mereka dalam parti itu.

Manakala media perdana hari ini memetik presiden MCA Dr Ling Liong Sik sebagai berkata, BN tidak boleh mengenakan tindakan disiplin secara langsung terhadap mana-mana individu dari parti komponennya kerana penyertaan dalam BN adalah berdasarkan parti dan bukannya individu.

Oleh itu, kata Ling, adalah menjadi tanggungjawab setiap parti komponen mengambil tindakan disiplin terhadap ahlinya yang melakukan kesilapan atau penyelewengan.

Saluran BN

Ianya bertentangan dengan kenyataan setiausaha agung BN Tan Sri Mohamed Rahmat bahawa BN mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap Lim dan Tan, tetapi menyerahkannya kepada MCA untuk berbuat demikian.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ling itu, Muhd Taib berkata: "Kita ada rumah, maka selesaikan sebarang masalah di dalam rumah. BN mempunyai saluran tersendiri untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapinya."

Sementara itu, Bernama memetik pengerusi jawatankuasa disiplin MCA, Datuk Kam Woon Wah sebagai berkata, surat yang dihantar oleh jawatankuasa itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semalam semata-mata bertujuan mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan terhadap Lim dan Tan.

Katanya, selaku pengerusi BN Pulau Pinang, penjelasan dari Dr Koh adalah penting supaya jawatankuasa disiplin dapat menjalankan siasatan yang adil terhadap kedua-dua Adun terbabit.

Semalam, Dr Koh menyifatkan perbuatan jawatankuasa itu sebagai usaha MCA untuk melencong daripada isu sebenar.

Adun Umno

Jawatankuasa berkenaan, kata Dr Koh, sepatutnya memberi tumpuan kepada siasatan terhadap dua Adun terbabit dan bukannya mengaitkan dengan lapan Adun BN lain yang tidak hadir ketika pengundian itu diadakan.

Dengan penjelasannya hari ini, Kam berharap Dr Koh ( gambar ) tidak salah mentafsir hasrat jawatankuasa terbabit untuk mendapatkan maklumat mengenai lapan Adun BN yang tidak hadir semasa pengundian itu. "Media (sehari selepas pengundian) telah melaporkan berapa ramai Adun BN yang tidak hadir dan kita hanya bertanyakan mengenai mereka yang tidak hadir itu," katanya.

Mereka yang tidak hadir itu termasuklah tiga Adun dari Umno, iaitu Hilmi Abdul Rashid (Umno Bertam), Syed Ameruddin Syed Ahmad (Umno Teluk Kumbar) dan Abdul Roni A Hassan (Umno Permatang Berangan).

Kam berkata, pengerusi MCA Pulau Pinang Wong Kam Hoong dan bekas pengerusi Datuk Dr Sak Cheng Lum yang turut tidak hadir, akan dipanggil memberi keterangan.