Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di mana Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai majoriti dua pertiga, dijangka menjadi medan perdebatan hangat apabila ia bersidang tahun depan untuk meluluskan cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya di negeri berkenaan.

Setiausaha agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, pihaknya kini menunggu saat itu untuk mengemukakan cadangan balas PAS sepertimana yang telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

"Memandangkan cadangan balas itu tidak mendapat respon positif dari SPR, maka kami akan membangkitkannya sewaktu sidang DUN itu nanti,," katanya kepada malaysiakini .

PAS memenangi 12 daripada 36 kerusi DUN Kedah dalam pilihanraya lalu, manakala Keadilan berjaya merampas kerusi DUN Lunas dalam pilihanraya kecil pada 2000, sekaligus menafikan BN majoriti dua pertiga.

PAS bagaimanapun berjaya mengekalkan kerusi DUN Anak Bukit tetapi tewas kerusi Parlimen Pendang, dalam pilihanraya kecil Januari tahun ini, yang diadakan berikutan kematian presiden PAS, Datuk Fadzil Nor yang mewakili kedua-dua kerusi berkenaan.

Walaupun tiada tambahan kerusi Parlimen dan negeri di Kedah, PAS mendakwa proses persempadanan semula kawasan pilihanraya sedia ada, hanya menguntung BN kerana kebanyakan kubu kuat pembangkang telah dipecah ke kawasan berlainan.

Sudah kalah

"Berdasarkan cadangan persempadanan semula itu, boleh dikatakan kita sudah kalah," kata Nasharuddin yang juga merupakan ahli Parlimen kawasan Yan, Kedah.

Selain kerusi negeri, beberapa kawasan Parlimen PAS turut terjejas, ini termasuk Pokok Sena (Mahfuz Omar, kanan ), Kuala Kedah (Mohammad Sabu), Sik (Datuk Shahnon Ahmad, kiri ) dan Baling (Taib Azamudden).

Cadangan persempadanan semula itu, jika diluluskan tanpa sebarang pindaan, dipercayai akan menjejaskan impian PAS yang dikatakan mempunyai peluang cerah untuk merampas Kedah dalam pilihanraya umum akan datang.

Apabila perubahan politik berlaku pada 1999, terutama selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan, kerusi majoriti Melayu, terutama di Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak lagi menjadi kawasan selamat BN.

Berikutan, pihak pembangkang, termasuk PAS, mendakwa dalam persempadanan semula kali ini, kerusi majoriti Melayu telah dimasukkan ke kawasan yang didiami pengundi bukan Melayu bagi mengimbangi sokongan kepada kerajaan.

Sebagai contohnya, kawasan Parlimen Yan yang dimenangi PAS, kini mempunyai tambahan satu lagi kerusi DUN (Gurun) yang ramai pengundi Cina, berbanding hanya dua DUN Sala dan Guar Cempadak sebelum ini.

Pengundi Cina

Kawasan Parlimen PAS di Kuala Kedah sebelum ini mempunyai tiga kerusi DUN Anak Bukit (PAS), Pengkalan Kundor (PAS) dan Kubang Rotan (BN). Bagaimanapun, DUN Pengkalan Kundor kini dikeluarkan dan digantikan dengan DUN Alor Merah (BN) yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

Kawasan Parlimen Pokok Sena pula mempunyai tiga kerusi DUN Langgar, Bukit Lada dan Tanjung Seri. Kini DUN Tanjung Seri yang dimenangi BN, dimasukkan dalam kawasan Parlimen Alor Star.

Kerusi DUN Derga yang sebelum ini berada dalam kawasan Parlimen Alor Star, dipindahkan ke kawasan Parlimen Pokok Sena. DUN Derga mempunyai ramai pengundi bukan Melayu dan dimenangi BN dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Kawasan Parlimen Baling pula, yang sebelum ini mempunyai dua kerusi DUN Bayu dan Kupang kini ditambah dengan satu lagi kerusi DUN Kuala Ketil yang ramai mengundi bukan Melayu dan dimenangi BN dengan 3,000 undi majoriti dalam pilihanraya umum lalu.

Melalui cadangan persempadanan semula itu, jumlah kerusi Parlimen meningkat daripada 194 sekarang kepada 219 manakala kerusi negeri meningkat daripada 504 kepada 563. Jumlah kerusi Parlimen dan negeri bagi Perlis, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak berubah.

Johor mendapat tambahan enam kerusi Parlimen (P) dan 14 kerusi negeri (N) diikuti Sabah (5P, 12N), Selangor (5P, 6N), Pahang (3P, 4N), Pulau Pinang (2P, 7N), Perak (1P, 7N), Negeri Sembilan (1P, 4N), Melaka (1P, 3N), Kelantan (2N) dan Wilayah Persekutuan (1P).