Jika Umno yakin boleh merampas semula Kelantan daripada PAS, ia haruslah dilakukan tanpa mengenepikan hak rakyat negeri itu untuk bebas membuat pilihan dalam pilihanraya umum akan datang, kata ketua Dewan Pemuda PAS Mahfuz Omar.

"Kalau Umno yakin dapat merampas Kelantan, kita juga yakin dapat mempertahankannya dalam pilihanraya umum akan datang. Tetapi ianya hendaklah dilakukan melalui proses demokrasi. Biarlah rakyat bebas membuat pilihan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Mahfuz menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang yakin bahawa Umno Kelantan pimpinan Datuk Mustapa Mohamed mampu merampas kembali Kelantan daripada PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Berucap di majlis mesra Adilfitri di Kota Baru malam tadi, Abdullah berkata, bagi mencapai matlamat itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, akan terus memberi sokongan dalam segala bentuk bagi memastikan kejayaan perjuangan Umno Kelantan.

Abdullah dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Kelantan hari ini merasmikan konvensyen sehari Barisan Nasional (BN) Kelantan yang dihadiri kira-kira 2,500 perwakilan di Machang bagi membincangkan strategi untuk merampas semula negeri itu daripada PAS.

PAS berjaya merampas Kelantan daripada BN dalam pilihanraya umum 1990 melalui pakatan politik Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai parti serpihan Umno, Semangat 46, pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Propaganda

Bagaimanapun, Semangat 46 kemudiannya dibubarkan dan Tengku Razaleigh serta pengikutnya diterima menyertai semula Umno.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata: "Kita takut kenyataan itu ada agenda yang boleh menetepikan prinsip demokrasi dalam negara kita. Ini berdasarkan beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan dalam bidang politik dan ekonomi, yang tidak menggambarkan unsur-unsur demokrasi," tambahnya.

Katanya, ini termasuklah soal kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk membersihkan daftar pemilih daripada pengundi hantu, di samping perlunya membenarkan parti politik kebebasan berucap dan berkempen mulai sekarang.

"Amalan media juga harus bebas dan tidak hanya terhad kepada kebebasan membuat laporan propaganda Barisan Nasional yang memburuk dan berunsur fitnah," tegasnya.

Selain membanteras politik wang, kata Mahfuz, kerajaan juga tidak boleh menyalahgunakan agensi kerajaan, termasuk keselamatan seperti polis dan tentera sehingga boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.