Persatuan Ulama Malaysia (PUM) bimbang dengan kewujudan beberapa badan yang didakwanya mendokong fenomena Islam liberal di negara ini sehingga lahirnya golongan penentang Islam dari dalam masyarakat Islam sendiri.

Menurut yang dipertuanya, Ustaz Ghani Shamsudin, fenomena itu wujud akibat pendidikan agama yang terlalu minima dan hasil kesilapan dalam membaca rujukan mengenai disiplin ilmu syarak.

"Akibatnya, lahirlah golongan penentang Islam dari dalam masyarakat Islam sendiri," katanya ketika diminta mengulas bantahan keras beberapa pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), terhadap langkah kerajaan Perlis melonggarkan syarat untuk berpoligami di negeri itu.

Katanya, golongan ini didedahkan dengan persepsi baru mengenai keagamaan, termasuk usaha mewujudkan sekolah agama yang lebih sederhana dan madani, sesuai dengan persepsi mereka.

Fenomena ini perlu dibendung supaya mereka dapat kembali merujuk kepada asas pengajian Islam dari sumber yang betul dan bersifat membela Islam.

Merobek dari dalam

Menurutnya, fenomena itu adalah kelangsungan kepada penjajahan fikiran umat Islam, termasuk di Malaysia.sehingga wujudnya badan yang dianggotai umat Islam yang sering "merobek Islam daripada dalam"

"Sebelum ini berlaku penjajahan, dan kemudiannya diikuti penjajahan budaya, ekonomi dan agama pun sudah mula hendak dikucar-kacirkan.

"Ini memang diusahakan oleh pihak zionis dan imperialis sejak awal lagi. Maka lahirnya fenomena golongan Islam liberal dan sekular menunjukkan kejayaan merka dalam mengubah jatidiri sebahagian Islam," kata Ghani.

Fenomena Islam liberal ini, katanya, semakin ditonjolkan, terutama dalam usaha memerangi keganasan yang mensasarkan negara-negara Islam.

"Usaha ini sedang diperkasa dan diperkemaskan dengan agenda baru selepas peristiwa 11 Sept, seperti perjanjian bilateral yang dipaksa ke atas negara Islam semua menerima agenda memerangi keganasan," tambahnya.