Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan langkah pergerakan Pemuda Umno memberi tumpuan khusus di Pahang dan Kedah menjelang pilihanraya umum akan datang, menunjukkan Umno kini mengakui kekuatan PAS dan Barisan Alternatif (BA) di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, berkata ianya juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa Umno juga mengakui kelemahan jentera pilihanraya parti itu di Pahang dan Kedah.

Beliau memberitahu malaysiakini demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini bahawa pergerakan itu akan memberi tumpuan khusus di Pahang dan Kedah yang menjadi sasaran pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut laporan itu, Hishammuddin akan mengetuai jentera pilihanraya di Pahang manakala naibnya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir akan bertanggungjawab di Kedah.

Pada masa yang sama, kata Hishammuddin lagi, pergerakan itu akan terus meningkatkan usaha menyediakan jentera pilihanraya yang mantap di Kelantan dan Terengganu.

Mengulas lanjut mengenainya, Mahfuz berkata, PAS dan BA telah menubuhkan jentera pilihanraya masing-masing di kedua-dua negeri itu sejak awal-awal lagi.

Mati tidak berkubur

"Kita memang telah bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Mengenai isu sekolah agama rakyat (SAR), Mahfuz berkata, bagi PAS, ianya bukan soal politik tetapi yang lebih penting ialah soal kelangsungan masyarakat Islam di Malaysia.

"Kami bimbang tekanan ke atas SAR akan membawa kepada penutupannya dan kesannya kepada masa depan negara. Pada masa itu, kita akan kekurangan orang yang boleh memberi nasihat mengenai agama kepada rakyat, kerajaan dan Raja-raja.

"Oleh itu, adalah penting untuk mempertahankan kewujudan SAR. PAS akan menjadikannya agenda politik...saya tidak menafikannya bahawa PAS akan mempertahan SAR," tambahnya.

Mahfuz juga hairan dengan langkah kerajaan yang kini bersedia pula untuk menyerapkan guru-guru SAR yang sebelum ini didakwa menyemai sikap membenci kerajaan di kalangan pelajar mereka.

Katanya, jelas matlamat kerajaan memberhentikan bantuan kewangan dan kini berusaha menyerapkan pula guru-gurunya ke sekolah kebangsaan ialah supaya SAR akhirnya "mati tidak berkubur".