Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Penjawat awam perlu amal keterbukaan
Diterbitkan:  Sep 21, 2010 3:56 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata setiap penjawat awam perlu mengamalkan keterbukaan minda bagi memastikan matlamat dan agenda kerajaan tercapai.

Beliau berkata sikap keterbukaan itu perlu dalam usaha kerajaan menghadapi cabaran-cabaran bagi menjayakan empat tonggak utama iaitu konsep "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).

"Keterbukaan itu bukan sahaja menerusi Rumah Terbuka Aidilfitri tetapi daripada segi pemikiran dan kaedah yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Misalnya, Najib berkata setiap agensi dan jabatan kerajaan tidak sepatutnya mementingkan pertambahan peruntukan semata-mata tetapi mengamalkan konsep pengurusan nilai supaya objektif kerajaan boleh dicapai dengan peruntukan yang kecil.

Perdana Menteri berkata mereka juga jangan melihat kepada pertambahan jawatan bagi mencapai sesuatu objektif sebaliknya menggunakan pegawai dan petugas sedia ada di samping menekankan tentang produktiviti.

"Kita tidak perlu melihat jumlah aktiviti (yang dilaksanakan) tetapi keberhasilannya. (Malah) kita tidak wajar melihat kepentingan jabatan kita sahaja tetapi keperluan keseluruhan kerajaan," katanya.       

Perdana Menteri berkata dengan mengamalkan sikap keterbukaan itu akan menjadikan mereka sebagai penjawat awam yang lebih berdedikasi sekaligus dapat meningkatkan sumbangan kepada negara.

Mengulas sambutan Aidilfitri yang masih hangat diraikan, Najib berharap tradisi mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri yang unik itu, perlu diteruskan kerana ia menjadi wadah untuk memupuk silaturahim dan rasa persahabatan di kalangan rakyat di negara ini.

- Bernama

ADS