Prof Diraja Ungku Aziz telah menolak jemputan untuk mempengerusi debat umum PAS-Umno mengenai isu sekolah agama rakyat (SAR) yang dijadualkan berlangsung pada 16 Februari depan.

Menurut setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki, Ungku Aziz telah menyatakan dalam sepucuk surat yang beliau tidak bersedia untuk mempengerusi debat itu, tetapi tidak menyatakan sebab-sebabnya.

Selain itu, tambahnya, rancangan untuk mengadakan debat itu di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya juga terpaksa dibatal kerana pada tarikh berkenaan, dewan itu kebetulan akan digunakan untuk peperiksaan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Nazri Abdul Aziz telah bersetuju untuk berbahas mengenai isu penarikan bantuan perkapita kepada SAR.

"Berikutan itu, saya dan setiausaha sulit Datuk Nazri, akan berjumpa Sabtu ini bagi mencari calon baru untuk mempengerusikan debat itu, serta mencari tempat yang sesuai untuk mengadakannya," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Menurut Misbahul, kemungkinan pihaknya akan mencadangkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Zahir Ismail untuk mempengerusikan debat itu memandangkan beliau (Zahir) juga mserupakan pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) yang turut bertanggungjawab terhadap SAR.

"Bagaimanapun, jika pihak Datuk Nazri mempunyai calon lain, kami sedia berbincang mengenainya," tambahnya.

Musyuawarah

Mengenai tempat baru untuk mengadakan debat itu, Misbahul berkata, pihaknya akan mencadangkan Auditorium Angkasa di Petaling Jaya.

"Bagaimanapun, sekiranya Datuk Nazri masih mahu ianya diadakan di Markas PAS di Taman Melewar, Gombak, kami tiada masalah untuk berbuat demikian," tambahnya.

Ditanya mengenai pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang berpendapat debat umum itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebenar SAR kerana kedua-dua pihak akan lebih mementingkan 'siapa yang kalah dan siapa yang menang', Misbahul berkata:

"Tidak timbul soal siapa kalah dan siapa menang kerana debat itu akan membahaskan perkara khusus, iaitu PAS mengatakan tindakan kerajaan memberhentikan bantuan perkapita akan menyebabkan SAR ditutup, manakala Datuk Nazri berkata sebaliknya.

"Oleh itu, pihak kita akan membuktikan bahawa pendapat kita itu benar, manakala Datuk Nazri akan membuktikan bahawa pendapatnya juga benar," tegasnya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai saranan Abim bahawa isu itu hanya boleh diselesaikan menerusi musyuawarah di antara semua pihak yang terbabit dalam isu SAR, Misbahul berkata:

"Musyuawarah seperti yang dicadangkan oleh Abim itu sepatutnya diadakan di antara pihak SAR sendiri dengan pihak kerajaan, bukan di antara Pemuda PAS dengan kerajaan," tegasnya.