Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO: Plet MCA harus terbuka kepada orang ramai
Diterbitkan:  Sep 24, 2010 5:36 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Kontroversi nombor pendaftaran kenderaan dengan huruf ''MCA'' yang dikatakan hanya untuk ahli parti MCA mendapat bantahan dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan meskipun ia belum dilaksanakan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman, berkata setiap parti mahupun mana-mana pertubuhan dan persatuan tidak wajar mempunyai nombor pendaftaran kenderaan yang tersendiri untuk menentukan kedudukan mereka.    

"Saya tidak setuju dengan nombor pendaftaran kenderaan untuk MCA itu, ia patut terbuka kepada semua (orang ramai) seperti biasa dengan tiada diskriminasi untuk mana-mana pertubuhan atau kedudukan mereka termasuk pekerjaan seperti doktor atau apa saja," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, menunjukkan sepucuk surat yang ditandatangani setiausaha sulit kanan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat kepada media sebagai menjawab kontroversi terdapat arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya pembukaan tender bagi nombor pendaftaran kenderaan bermula MCA 1 sehingga MCA 9999 dikecualikan.

Sebaliknya, memo itu mahukan nombor pendaftaran yang sepatutnya dikeluarkan untuk kenderaan di negeri Melaka dikhususkan kepada ahli parti MCA.

Surat bertarikh 17 Februari 2010 itu ditujukan kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan tetapi Ong pada Rabu lalu, dilaporkan berkata, permohonan itu sudah ditolaknya pada Mac lalu.

Semalam, Solah dalam satu kenyataan berkata, arahan itu masih berkuatkuasa dan pihaknya memerlukan arahan baru daripada menteri pengangkutan sekarang bagi membatalkan arahan menteri terdahulu untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu, berkata nombor plet kenderaan tidak seharusnya dikhususkan sebaliknya terbuka kepada mereka yang berminat dan mampu memperolehinya.

"Tiada isu yang harus berbangkit, jangan buat isu lah...siapa yang hendak membeli dan suka sesuatu nombor itu boleh membelinya...nombor plet kenderaan bukan khusus untuk mana-mana parti seperti Umno, DAP, PAS atau sebagainya," katanya.

Menurut sumber dari kementerian pengangkutan, Kong dijangka akan membatalkan arahan terdahulu, untuk membolehkan nombor pendaftaran tersebut dibuka kepada umum dalam masa terdekat.

"Tender untuk plet nombor MCA akan dijalankan seperti biasa selepas arahan secara rasmi dikeluarkan dan mereka yang berminat boleh memperolehinya dengan JPJ," katanya.

- Bernama

ADS