Dewan Pemuda PAS pusat kesal dengan tindakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Nazri Aziz memulangkan 300 keping kad jemputan yang diperuntukkan kepada pihaknya untuk diedarkan kepada penyokong Umno bagi menghadiri debat mengenai sekolah agama rakyat (SAR) malam Ahad ini.

Debat itu adalah antara Nazri dengan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob.

Menurut setiausaha Dewan Pemuda PAS, Misbahul Munir Masduki, Nazri pada mulanya telah menawarkan kad tersebut kepada Pemuda PAS untuk diedarkan kepada penyokong parti itu.

"Bagaimanapun, kita menolak tawaran kerana apa yang kita mahu, penyokong kedua-dua pihak hadir pada malam debat SAR itu supaya mereka dapat mendengar pandangan yang akan diberikan oleh Nazri dan Salahuddin," tambahnya.

Akhirnya, kata beliau, kad jemputan tersebut diserahkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diedarkan kepada mereka yang berminat menghadiri majlis tersebut mulai jam 8.30 malam Ahad depan.

"Kalau semua yang hadir adalah ahli PAS, habis bagaimana penyokong Umno dapat mengetahui apa yang hendak disampaikan oleh Salahuddin pada malam tersebut berhubung isu SAR," tambahnya.

Penyokong parti

Misbahul ditemui selepas menghadiri mesyuarat antara wakil Pemuda PAS dan wakil Nazri, Shamsul Anuar Nazarah dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman yang akan mempengerusi debat itu.

Misbahul menghadiri mesyuarat itu sebagai mewakili Salahuddin dan manakala Shamsul Anuar yang juga setiausaha sulit Nazri, mewakili menteri pembangunan usahawan itu.

Menurutnya, lagi, tajuk debat itu juga telah ditukar kepada Sekolah Agama Rakyat: Cabaran, masa depan dan harapan.

Sebelum ini, tajuk yang dicadangkan oleh Pemuda PAS ialah "Siapakah yang mengkhianati sekolah agama rakyat".

Sementara itu, Shamsul Anuar ketika ditemui selepas mesyuarat itu, berkata pihaknya mahu menyerahkan 300 kad jemputan itu kepada Pemuda PAS supaya lebih ramai penyokong parti itu dapat menghadirinya bagi mendengar penjelasan Nazri mengenai perkara itu.

Kerana itulah, katanya, Nazri telahpun mencadangkan sebelum ini supaya debat itu diadakan di markas PAS di Taman Melewar Gombak bagi membolehkan ahli-ahli parti dapat mengikutinya.

Kesinambungan

"Oleh kerana Pemuda PAS menolak tawaran itu, maka kad itu kami serahkan kepada pihak DBP untuk diedarkan kepada mereka yang berminat," tambahnya.

Sementara Aziz memberitahu malaysiakini , mereka yang berminat mendapatkan kad jemputan itu boleh menghubungi ketua bahagian komunikasi DBP, Ismail Karmun ataupun Puan Rossilawaty Sheriff dari sekretariat DBP menerusi talian 03-21483185.

Mengenai perjalanan debat Ahad itu, beliau berkata, setiap pendebat akan diberikan masa selama sejam, iaitu 30 minit pertama untuk membentangkan fakta masing-masing, 20 minit untuk mengulas atau menjawab hujah dan 10 minit lagi untuk menggulung.

Katanya, walaupun debat itu diadakan secara tertutup atas nasihat pihak polis, namun beliau gembira kerana sekurang-kurangnya ia dapat menemukan dua pihak yang bertelingkah mengenai isu SAR untuk bersemuka dan membahaskannya secara ilmiah.

"Bagi kita, ianya adalah satu majlis ilmiah. Ia juga akan merupakan satu forum yang paling baik, sebagai kesinambungan kepada ucaptama yang telah menemukan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor," tambahnya.

Ucaptama itu berlangsung pada bulan Mei tahun lalu di mana Presiden Umno dan Presiden PAS itu berucap mengenai isu yang melanda rakyat dan negara Palestin. Ia dianjurkan bersama oleh DBP dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).