Kepimpinan Umno Terengganu sentiasa berhati-hati dalam memperkenal sebarang strategi di saat pilihanraya umum semakin hampir kerana sebarang kesilapan boleh 'memusnahkan' harapannya untuk menawan semula negeri itu dari PAS.

"Kita mesti cuba seberapa boleh supaya tidak melakukan sebarang kesilapan. Ini termasuklah pengumuman lebih awal nama calon pilihanraya dan calon menteri besar, kerana langkah itu ada baik dan buruknya," kata ahli jawatankuasa pengurusan Umno negeri, Datuk Rashid Ngah.

Sepintas lalu, katanya, ada baiknya untuk menyatakan kepada rakyat barisan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

"Tetapi dalam hal ini, kesan buruknya pun ada, kerana ia juga boleh mengakibatkan berlakunya pergeseran dan perebutan, terutama di kawasan yang agak mudah menang.

"Oleh itu, secara peribadi, saya rasa cadangan itu baik diteliti. Elok sangatlah naib presiden Tan Sri Muhammad Muhd Taib meninjau pendapat ahli akar umbi bagi mendapatkan gambaran sebenarnya," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Isu ini dicetuskan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang berpendapat langkah itu akan memudahkan kerja-kerja calon untuk merancang dan berkempen sejak awal lagi.

Rampas semula

Kelantan dikuasai PAS selepas pilihanraya umum 1990 manakala Umno kehilangan Terengganu, juga kepada PAS, dalam pilihanraya umum 1999.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin tertinggi Umno menyifatkan cadangan itu mempunyai kesan positif dan negatif sekiranya dilaksanakan.

Berikutan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan Muhd Taib supaya mendapatkan pandangan ahli Umno di kedua-dua negeri tersebut sebelum memutuskan kewajaran cadangan itu dilaksanakan.

Mengenai persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang, Datuk Rashid berkata, Umno negeri semakin kuat berikutan kesungguhan pemimpin dan ahli, terutama di peringkat cawangan yang kini cukup ketara.

Bagi beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, yang penting bukanlah soal calon, tetapi Umno negeri mesti terus menerus diperkuatkan sepanjang masa.

Majoriti kecil

"Kalau perhatian hanya ditumpukan kepada soal calon sahaja, saya bimbang, kita akan lupa kepada kekuatan parti. Oleh itu, parti mesti diperkuatkan terlebih dahulu, barulah difikiar soal calon," tambahnya.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN hanya memenangi empat daripada 40 kerusi DUN, iaitu Seberang Takir, Telemung, Ajil dan Kemasik.

Selain daripada empat kerusi DUN berkenaan, BN tewas di 10 lagi kerusi DUN dengan majoriti di antara 87 hingga 710 undi.

Kawasan terbabit ialah Kuala Besut (487), Kampung Raja (710), Hulu Besut (598), Permaisuri (451), Langkap 157), Bandar (511), Bukit Besi (87), Kijal (264), Cukai (436) dan Air Putih (479).