Umno Peringat, Kelantan, mengakui memang ada sebilangan ahlinya yang meninggalkan Umno dan menyertai Barisan Alternatif (BA) hujung bulan lalu kerana tidak berpuashati dengan keputusan parti.

Bagaimanapun, kata Ketua Pemuda Umno Peringat, Azmi Ishak, jumlah mereka tidaklah seramai yang dilaporkan oleh laman web PAS Harakahdaily Sabtu lalu.

Katanya, jumlah mereka yang terbabit tidak sampai 20 orang, termasuk seorang bekas penyelia pembangunan Mukim (PPM) yang tidak disambung semula perkhidmatannya.

"Bagaimanapun, Umno bahagian menerima aduan dari penduduk tempatan yang tidak mahu tugas beliau sebagai PPM disambung," kata Azmi ketika diminta mengulas laporan Harakahdaily yang mendakwa 100 ahli Umno Peringat menyertai BA baru-baru ini.

PPM dilantik oleh Umno dari kalangan pemimpin tempatan, manakala Penghulu dilantik oleh kerajaan negeri. Umno Bahagian Peringat diketuai oleh Datuk Annuar Musa.

Januari lalu, jawatan beliau sebagai timbalan pengerusi perhubungan Umno Negeri diambil oleh Zaid Ibrahim yang juga ketua Umno bahagian Kota Bharu.

Tidak puashati

Menurut laporan Harakahdaily , hampir 100 pemimpin dan penyokong Umno menyertai BA secara beramai-ramai dalam satu majlis ceramah yang dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ( gambar ) pada malam 28 Feb lalu.

Berikutan itu, menurut laporan itu lagi, dua cawangan Umno di Peringat - Kampung Resang dan Melor, terpaksa dibubarkan. Ketua Umno Cawangan Ghazali Yusuf bersamanya 66 penyokong Umno telah menyertai PAS.

Turut menyertai PAS ialah ketua Umno Cawangan Melor, Kamaruddin Yazid bersama 24 pengikutnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azmi berkata, beliau difahamkan bahawa Ghazali bertindak sedemikian kerana tidak puashati berikutan perkhidmatannya sebagai PPM tidak disambung semula.

"Keputusan itu dibuat atas permintaan orang kampung yang tidak berpuashati dengan perkhidmatan beliau...Umno mengikut kehendak orang kampung," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Tutup cawangan

Mengenai pembubaran Umno cawangan Melor pula, Azmi berkata, tindakan itu terpaksa dibuat berikutan kegagalan kepimpinan cawangan terbabit mematuhi peraturan parti.

"Umno bahagian mengambil keputusan untuk menutup cawangan Melor kerana kepimpinannya bukan sahaja tidak pernah mengadakan mesyuarat, tetapi juga tidak membayar yuran keahlian," tambah Azmi.

Berikutan penutupan cawangan itu, katanya, kira-kira 20 ahlinya telah diserapkan ke cawangan Umno yang berhampiran.

Azmi menyifatkan tindakan Ghazali dan Kamaruddin semata-mata tidak berpuashati dengan keputusan Umno bahagian yang tidak menyambung perkhidmatan (Ghazali) dan menutup cawangan Melor.

"Ini kerana anak Ghazali sendiri masih bersama Umno dan menjadi ketua Pemuda salah sebuah cawangan dalam bahagian Peringat," tambahnya.