Dua pemimpin pembangkang dari parti Keadilan dan DAP tidak pernah menolak pelawaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk melihat dokumen sulit PAS yang didakwanya cuba menikam mereka dari belakang dalam pilihanraya umum akan datang.

Malah, kedua-duanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kawasan Triang, Leong Ngah Ngah dan Adun Keadilan Kawasan Chini Mohd Jafri Ab Rashid telahpun menyatakan kesediaan mereka untuk melihatkan sendiri dokumen itu.

Sebenarnya, kata Leong, beliau tidak pernah mengubah pendirian dan enggan melihat dokumen sulit itu sepertimana yang didakwa oleh Adnan.

"Sebaliknya, saya masih menunggu kerana belum diberitahu tarikh untuk bertemu dengan Menteri Besar. Ketika saya dihubungi setiausahanya mengenai perkara itu, saya kata saya sedia melihat dokumen itu pada bila-bila masa sahaja," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Sambil menafikan kenyataan Adnan itu, Leong yang juga setiausaha DAP Pahang dan Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, berkata: "Itu tidak betul...pendirian saya tidak berubah...sebalik saya sedang menunggu tarikh untuk bertemu beliau."

Dalam laporannya hari ini, Berita Harian memetik Adnan sebagai berkata, Mohd Jafri dan Leong tidak mahu menerima pelawaannya melihat dokumen rahsia itu.

Isi kandungan

Adnan mendakwa kedua-dua Adun pembangkang itu sebelum ini menyatakan persetujuan mereka berjumpa beliau dan melihat sendiri kandungan dokumen rahsia itu.

Adnan juga mendakwa, selain dokumen sulit Ops Pas Perintah Pahang (Ops 3P), beliau juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga lagi dokumen sulit Pas yang memperlihatkan tipu muslihat parti terhadap rakannya dalam barisan pembangkang.

Sementara itu, Mohd Jafri memberitahu malaysiakini , beliau memang kebetulan bertemu Adnan sewaktu menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Pahang semalam.

"Ketika kami bertegur sapa, beliau ada menyebut tentang dokumen itu. Jadi, beliau berkata, kalau saya datang (menemuinya), beliau boleh tunjuk dokumen itu kepada saya.

"Selepas itu, saya memberitahu Menteri Besar tengoklah...kalau ada masa saya akan pergi. Begitulah jawapan saya kepadanya...tidak pula saya kata saya tidak mahu melihatnya...," tegas beliau yang juga pengerusi perhubungan Keadilan Pahang.

Sebenarnya, kata Mohd Jafri, beliau pernah melihat dokumen itu dan bertanya kedudukan sebenarnya kepada rakannya dalam PAS.

Jangan menyibuk

"Menurut mereka, kandungan dokumen itu bukanlah pendirian PAS, tetapi merupakan satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh golongan tertentu di dalam parti itu," tambahnya.

Ditanya mengenai kandungan itu dokumen itu, Mohd Jafri berkata pada asasnya, dokumen itu mencadangkan kepada pucuk pimpinan PAS mana-mana kawasan yang majoritinya 80 peratus Melayu hendaklah ditandingi calon PAS.

"Kalau menurut formula itu, ia termasuklah kawasan Chini yang saya wakili sekarang. Bagaimanapun, itu bukan formula yang kita gunakan dalam BA.

"Kalau macam itu, banyaklah kawasan kita (Keadilan) daripada PAS di Pahang kerana sebahagian besar kawasannya bukan 80 peratus majoriti Melayu," tambahnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Keadilan pusat.

Sambil menasihatkan Adnan supaya jangan cuba melaga-lagakan anggota BA di Pahang, Mohd Jafri berkata: "Kalau beliau rasa PAS cuba menikam sahabatnya dalam BA, PAS tetap sahabat kami, tetapi kalau dia (Umno) cuba gambarkan dia lebih baik dari PAS, sebaik-baiknya pun, dia tetap musuh kami."

Oleh itu, beliau meminta Adnan supaya "jangan menyibuk" berhubung perkara itu kerana "kami tidak akan terpengaruh dengan percubaannya itu".