PAS pasang 'pengesan sogokan' di Galas

       

PAS kini menumpukan kepada undi orang Melayu dalam kempen yang masuk hari keenam hari ini, kata penasihat kempen pilihan raya kecilnya di DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Berikutan itu, beberapa langkah diambil untuk memastikan sokongan terus diberikan pada PAS di kawasan seperti Sungai Terah.

NONE Antaranya ialah mengetatkan keselamatan untuk mengesan sogokan kepada pengundi, kata Wan Abdul Rahim.

Katanya, penduduk di situ boleh membuat penahanan awam jika berlaku sogokan.

Salah satu bentuk sogokan yang telah dikesan ialah tawaran RM1,000 dan pemberian set televisyen, katanya.

Kawasan itu mencatat undi popular sebanyak 69 peratus kepada PAS pada Mac 2008, kata Wan Abdul Rahim lagi.

"BN rasa kalau peti undi itu dapat dicairkan, mereka akan dapat rampas Galas," katanya dalam sidang media di markas PAS di Gua Musang hari ini.

PAS setakat ini masih menyifatkan calonnya sebagai underdog dan meletakkan peluang kemenangannya sebanyak 49 peratus, tambahnya.

Namun parti itu tetap yakin akan dapat mengekalkan sokongan di kalangan pengundi Orang Asli dan meningkatkan undi daripada pengundi Cina di Galas, katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda