Ucapan junjung kasih terhadap ucapan Yang di-Pertuan Agung sewaktu merasmikan sidang Dewan Rakyat semalam, berjalan dalam suasana legang apabila ramai ahli Parlimen, menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen tiada di tempat masing-masing.

Ucapan itu dimulakan oleh ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Mohd Zin Mohamed yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) kira-kira jam 11 pagi.

Ucapan beliau yang menyentuh pelbagai bidang, khususnya ekonomi, sering terganggu apabila ahli Parlimen pembangkang yang bangun membantah beberapa perkara yang dibangkitnya.

Ini termasuklah tindakan Ahli Parlimen Kubang Krian Husam Musa yang membantah kenyataan Mohd Zin bahawa Penerbangan Malaysia telah berjaya mencatat semula keuntungan dan bebas daripada hutang.

Menurut Mohd Zin, MAS mencatat keuntungan RM260 juta sehingga 31 Nov lalu, berbanding kerugian RM882.3 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam hal ini, Husam mempertikaikan pencapaian MAS kerana menurutnya kemampuan syarikat penerbangan itu mencatatkan keuntungan kerana kerajaan sudah mengambilalih segala hutangnya sebelum ini.

Usul membantah perang

Sebelum itu, dewan meluluskan usul yang dikemukakan oleh Mohd Zin, selaku pengerusi BBC untuk membahaskan bantahan terhadap apa jua tindakan ketenteraan Amerika Syarikat ke atas Iraq.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Dr Mohamed Zahir Ismail ( kiri ) berkata beliau berpuas hati dan meluluskan usul itu kerana ia memenuhi tiga syarat -- ia perkara tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Oleh itu, beliau membenarkan usul dibahaskan dan ditempohkan sehingga jam 4.30 petang dan ditangguhkan pada jam 5.30 petang mengikut Peraturan Mesyuarat 18(3)(b).

Ketika membentangkan usul itu, Mohd Zin berkata ia bertujuan meminta kerajaan Malaysia membantah sekeras-kerasnya apa jua tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq, sekalipun dengan kelulusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, serangan ke atas Iraq merupakan tindakan unilateral kerajaan Amerika yang membelakangkan pendekatan multilateral yang diamalkan Majlis Keselamatan PBB.

Secara tidak langsung, katanya, ianya juga akan menyebabkan masyarakat dunia hilang kepercayaan terhadap badan dunia itu, di samping mengheret ekonomi dunia termasuk Malaysia kembali mengalami kegawatan.

Dewan juga meluluskan perlantikan ahli Parlimen Tambun, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dan ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Zulhasnan Rafique, masing-masing sebagai pengerusi dan naib pengerusi baru Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Pemilihan mereka diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam satu usul di persidangan dewan pagi ini. Mereka akan memegang jawatan itu sehingga tamat tempoh Parlimen kesepuluh.