Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disambung hari ini selepas ditangguhkan untuk sambutan perayaan Hari Deepavali, bermula pagi ini dengan perang mulut antara barisan pembangkang dan wakil kerajaan negeri.

Perang mulut itu bermula selepas Ng Wei Aik (DAP-Komtar) mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan mesyuarat untuk membincangkan demonstrasi yang berlaku di luar bangunan DUN pada Selasa lalu.

NONE Dalam membentangkan usul, Ng berkata usul itu perlu dibincangkan dengan segera kerana demonstrasi liar dan ganas dianggap mengganggu  perjalanan mesyuarat serta menghina DUN.

"Tindakan seorang penyokong demonstrasi yang merantai dirinya pada pintu pagar DUN dianggap satu tindakan yang amat ganas dan liar. Adakah ini bertujuan untuk mengurung semua ADUN  termasuk dari pihak pembangkang?" katanya ketika membentangkan usul itu.

Ng turut menamakan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, sebagai  antara yang bertanggungjawab terhadap demonstrasi itu.

NONE Ketika membahaskan usul itu RSN Rayer (DAP-Seri Delima) mengeluarkan keratan akhbar tempatan yang memaparkan gambar Norman dalam demonstrasi  tersebut.

Rayer juga menuduh bahawa wang sumbangan kepada warga emas itu yang hendak dipulangkan kepada kerajaan negeri berkemungkinan wang Umno.

Katanya ucapan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) pada  Perhimpunan Umno yang baru lalu di Kuala Lumpur, telah mencetuskan demonstrasi itu.

NONE Muhammad Farid bingkas bangun dan minta Rayer mengemukakan bukti bahawa ucapannya membawa  kepada demonstrasi.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) cuba membantah dengan mengatakan Rayer tidak memahami usul yang dibincangkan kerana ia adalah mengenai  demonstrasi minggu lalu dan bukannya isu wang sumbangan.

Rayer mencabar barisan pembangkang supaya mengemukakan nama, alamat dan nombor kad  pengenalan warga emas yang terlibat memulangkan wang RM100 yang diberi kerajaan negeri.

NONE Pemangku ketua  Pembangkang Datuk Seri Hilmi Yahaya (BN-Teluk Bahang)  berkata bahawa dalam isu pemberian wang sumbangan itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri telah mengelirukan rakyat.

"Mungkin disebabkan kekeliruan rakyat tentang kenyataan Lim yang membawa kepada demonstrasi minggu lalu," katanya.

Selasa lalu, lebih 100 orang, kebanyakannya penduduk Kampung Genting, Balik Pulau dan anggota Pemuda Umno mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan DUN bagi membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau  Pinang kerana gagal menyelesaikan isu berkaitan tanah di Balik Pulau dan pemberian wang sumbangan itu yang didakwa berpunca daripada hasil judi.

    

- Bernama