Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan tawaran kerajaan kepada sekolah agama rakyat (SAR) supaya menjadi sekolah kebangsaan bagi mendapatkan semula bantuan perkapita, sebagai "permulaan kepada proses penghapusan SAR di negara ini".

Ketuanya, Mahfuz Omar berkata, inilah yang terjadi kepada 78 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina yang sebelum ini menerima tawaran itu tetapi kini sudah berubah menjadi sekolah kebangsaan biasa.

"Apabila pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dipaksa ke atas SJK, maka terhakis fokusnya daripada sekolah yang berteraskan bahasa ibunda, kepada sekolah kebangsaan biasa...," katanya selepas mengadakan dialog tertutup dengan Dong Jiao Zong (DJZ) di Kajang petang ini

Hadir sama ialah naib presiden DJZ Dr Yap Sin Tian, naib ketua Pemuda PAS pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Kawasan Kajang, Dr Shafie Abu Bakar.

"Inilah kesannya kerana sekolah ini telah menjadi sekolah bantuan kerajaan dan mahu mahu tidak mahu ia harus mengikut dasar yang ditentukan oleh kerajaan," tegasnya.

Menurut Mahfuz lagi, kenyakinan pihaknya itu juga berdasarkan apa yang sering dilaungkan oleh pihak kerajaan bahawa perlu wujudnya satu aliran sekolah kebangsaan bagi mengatasi masalah polarisasi kaum.

Rasa bimbang

Katanya, Dewan Pemuda PAS bimbang nasib yang sama akan menimpa SAR sekiranya mereka menerima tawaran kerajaan untuk bertukar menjadi sekolah kebangsaan.

Kerana itulah, katanya, penting bagi pihaknya berbincang dengan pelbagai pihak yang terbabit, termasuk DJZ bagi memastikan survival kepelbagaian aliran pendidikan di negara ini, sama ada sekolah jenis kebangsaan ataupun SAR.

Sepatutnya, kata beliau, kewujudan SAR diteruskan seperti sekarang kerana sekolah terbabit tidak menolak kurikulum yang dianjurkan oleh kerajaan kerana pelajarnya juga menduduki peperiksaan awam anjuran Kementerian Pendidikan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Manakala kurikulum bagi peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama, Sijil Menengah Agama dan Sijil Tinggi Agama, ditentukan Jabatan Agama masing-masing yang menekankan kepada pendidikan agama Islam.

Alasan mengelirukan

Mahfuz juga mendakwa bahawa alasan yang diberikan oleh kerajaan berhubung tindakannya memberhentikan bantuan perkapita kepada SAR juga mengelirukan.

"Alasan kerajaan berbelit-belit .... mula-mula alasan yang paling utama ialah SAR mengajar agama salah. Bagi Kementerian Pendidikan pula, alasannya adalah prestasi akademik...," tambahnya.

Beliau juga meminta Menteri Pendidikan supaya jangan mengelirukan rakyat dengan berbanding keputusan peperiksaan di SAR dengan sekolah kebangsaan yang kemasukan pelajarnya sama seperti kemasukan pelajar ke sekolah asrama penuh.

"Sepatutnya perbandingan itu dibuat bagi sekolah SAR dan sekolah kebangsaan dalam kawasan yang sama untuk melihat pencapaian sebenar kedua-dua sekolah berkenaan," tambanhya.

Mahfuz juga bersetuju dengan gesaan DJZ sebelum ini yang mahukan kerajaan mengeluarkan kertas putih mengenai SAR untuk dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dan Parlimen.

Taklimat kepada Umno

Beliau juga mencadangkan supaya dasar berkaitan SAR yang berjalan selama ini, termasuk bantuan perkapita, diteruskan sehinggalah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad Mohamed Noor menghasilkan cadangan dan laporan berhubung perkara itu.

Mahfuz juga mendakwa beliau mendapat tahu bahawa jawatankuasa tersebut telahpun menyiapkan laporan awal untuk diberi taklimat kepada bahagian penerangan Umno pusat.

"Saya difahamkan oleh beberapa pemimpin Umno mengenai perkara ini......apa haknya (jawatankuasa itu) memberi taklimat kepada bahagian penerangan Umno...," tegasnya.

Mahfuz juga mempertikaikan siaran wawancara khas Menteri Pendidikan di RTM malam ini kerana jawatankuasa khas tersebut belum lagi mengemukakan laporannya kepada umum.

"Bagaimana laporan belum dikemukakan, keputusan sudah dibuat ... Majlis Raja-raja juga belum buat keputusan kerana mahu menunggu laporan itu ... beliau tidak boleh memberitahu rakyat yang tindakannya betul mengenai SAR sehinggalah laporan itu dikemukakan kepada umum," tegasnya.