Perang Iraq satu amaran terhadap Korea Utara
Perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq mulai semalam kerana keengganan negara itu mematuhi arahan perlucutan senjata pemusnah miliknya, adalah satu "amaran" kepada Korea Utara supaya memberhentikan segera usahanya untuk memulihkan semula program nuklearnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, James Wise.
Jika tidak katanya, mungkin Korea Utara juga tidak akan mengendahkan gesaan masyarakat antarabangsa supaya negara itu memberhentikan projek nuklear berkenaan.
Ditanya mengapa Amerika dan sekutunya tidak merancang untuk turut menyerang Korea Utara jika negara itu masih berdegil, Wise berkata, keengganan untuk melucutkan senjata permusnahnya sudah menjangka masalah lebih 12 tahun.
Perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya ke atas Iraq mulai semalam kerana keengganan negara itu mematuhi arahan perlucutan senjata pemusnah miliknya, adalah satu "amaran" kepada Korea Utara supaya memberhentikan segera usahanya untuk memulihkan semula program nuklearnya, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, James Wise.
Jika tidak katanya, mungkin Korea Utara juga tidak akan mengendahkan gesaan masyarakat antarabangsa supaya negara itu memberhentikan projek nuklear berkenaan.
Ditanya mengapa Amerika dan sekutunya tidak merancang untuk turut menyerang Korea Utara jika negara itu masih berdegil, Wise berkata, keengganan untuk melucutkan senjata permusnahnya sudah menjangka masalah lebih 12 tahun.
Malah, katanya, dalam tahun 1990, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan tindakan ketenteraan dikenakan ke atas Iraq, tetapi ianya digantung dengan jaminan Iraq akan mematuhi resolusi PBB berhubung penghapusan senjata pemusnah di negara itu.
Bagaimanapun, katanya, isu yang membabitkan Korea Utara hanya baru enam bulan berlaku, dan pihaknya masih berusaha melalui jalan perundingan bagi menyelesaikan masalah itu.
Tindakan Korea Utara memulihkan semula program nuklearnya mencetuskan kebimbangan ia mungkin senjata nuklear dan menjualnya kepada negara lain.
Tiga sebab serangan
Korea Utara juga dipercayai membina peluru berpandu balistika yang dapat mengenai sasaran di Hawaii dan sebahagian daripada Amerika Utara.Di samping itu, Washington juga bimbang kerana peluru berpandu Korea Utara boleh mengenai sasaran di Korea Selatan dan Jepun, dua negara sekutu tempat Washington meletakkan ribuan askarnya.
Mengulas lanjut mengenainya, Wise berkata isu yang membabitkan Korea Utara itu adalah antara tiga sebab utama mengapa Amerika dan sekutunya Britain dan Australia mengambil keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iraq.
Dua lagi sebabnya ialah pertama, bagi memastikan senjata pemusnah milik tidak jatuh ke tangan kumpulan pengganas antarabangsa.
"Kami yakin Iraq memiliki senjata pemusnah itu. Pihak pemeriksa senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak menemuinya kerana Iraq tidak memberi kerjasama sepatutnya.
"Kedua, pemimpin Iraq Saddam Hussein memang mempunyai sejarah bertindak agresif terhadap negara lain seperti Iran, Israel, Qatar dan Kuwait," katanya dalam satu temubual ekslusif dengan malaysiakini pagi ini.
Tindakan ketenteraan
Ditanya mengapa serangan ke atas Iraq itu dilancarkan tanpa mandat daripada PBB, Wise berkata, ianya adalah sahaja berdasarkan kepada 17 resolusi PBB yang mengarahkan Iraq mematuhi arahan supaya memusnahkan senjata pemusnah yang dimilikinya.
Katanya, ini termasuk tiga resolusi utama Resolusi 678, 687 dan 1441 yang mahu masyarakat antarabangsa menggunakan apa sahaja yang perlu untuk memastikan Iraq mematuhi arahan perlucutan senjata pemusnah yang dimiliki negara itu.
Manakala Resolusi 1441 pula dengan jelas memberi peluang terakhir kepada Iraq untuk mematuhi semua resolusi PBB, dan keengganannya membolehkan kekuatan ketenteraan dikenakan ke atasnya.
Selain, Amerika, Britain dan Australia, katanya, Resolusi 1441 itu juga turut disokong oleh 15 negara lain.
Kerana itulah, kata Wise, pihaknya berpandangan bahawa tindakan ketenteraan ke atas Iraq yang diterajui oleh Amerika itu dilancarkan mengikut kehendak resolusi-resolusi yang telah dikeluarkan oleh PBB sehingga ini terhadap Iraq.
Wise juga ditanya mengapa tindakan krisis Israel-Palestin tidak mendapatkan perhatian sebagaimana yang berlaku dalam soal Iraq, sedangkan Israel juga merupakan salah sebuah negara yang memiliki senjata pemusnah.
Pelarian perang
Menurutnya, isu pemusnahan senjata pemusnah milik Iraq adalah dibuat mengikut Chapter 7 PBB yang membenarkan penggunaan ketenteraan untuk melaksanakan resolusi yang diterbitkan oleh PBB berhubung dengan perkara itu.
Ianya juga, kata beliau, adalah sebahagian daripada peperangan menentang keganasan selepas berlakunya peristiwa 11 Sept dan pengeboman di Bali yang turut mengorban ramai rakyat Australia.
Oleh kerana Australia kini berada di dalam senarai sasaran pengganas, maka tegas beliau, negara itu akan menyokong sebarang usaha anti-keganasan, termasuk serangan ke atas Iraq.
Manakala dalam krisis Israel-Palestin, katanya, resolusi yang diterbitkan oleh PBB itu menggesa kedua-dua pihak yang terbabit supaya berunding untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.
Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya kebanjiran pelarian akibat daripada perang Iraq, Wise berkata, pihak percaya apabila kerajaan baru yang lebih demokratik ditubuhkan di Iraq bagi menggantikan regim Saddam, pelarian yang terdiri daripada rakyat Iraq akan kembali ke tanah air mereka.
Malah, katanya, Australia juga akan menyertai usaha masyarakat antarabangsa untuk membina semula Iraq selepas tamat perang ke atas Saddam, sepertimana yang dilakukan di Afghanistan sekarang.

