Kerajaan digesa supaya memberi perhatian kepada nasib ramai pembekal komputer yang sehingga kini belum mendapat bayaran bagi komputer yang mereka bekalkan kepada pembeli melalui skim pembelian komputer melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketika membuat gesaan itu, ahli Parlimen Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), berkata selama ini kerajaan banyak bercakap mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh pembekal komputer bagi skim tersebut.

Katanya, gambaran itu hanya 'separuh benar' daripada apa yang berlaku, kerana pada masa yang sama, pembekal komputer untuk skim terbabit juga menghadapi masalah kerana tidak menerika bayaran daripada agensi terbabit walaupun komputer sudahpun dibekalkan.

Berikutan itu, beliau ingin tahu apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan, khususnya KWSP, untuk menyelesai masalah pembekal tersebut, sedangkan skim itu sudahpun diberhentikan oleh kerajaan.

Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy meminta Fong supaya mengemukakan butir-butir terperinci mengenai pembekal terbabit untuk tindakan segera beliau dan KWSP bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Saya dan pihak KWSP akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Tribunal

Sebelum itu, beliau memberitahu Dewan Rakyat, selepas pembatalan skim pembelian komputer pada 9 Ogos 2002, KWSP menerima 32 aduan, termasuk 24 aduan mengenai kegagalan pihak pembekal membekalkan komputer.

"Sebanyak sembilan kes telah diselesaikan, manakala 23 kes lagi dalam tindakan penyelesaian," tambahnya.

Katanya, kes-kes tersebut telah dirujukan kepada tribunal tuntutan pengguna di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal pengguna.

Dalam keputusannya, tribunal tersebut telah mengarahkan pembekal terbabit supaya mengembalikan wang ahli untuk dikreditkan semula ke dalam akaun mereka.

Sementara itu, ahli Parlimen Hoo Seong Chang (BN-Kluang) ingin tahu sama ada kerajaan akan menimbang semula kemungkinan untuk meneruskan skim itu untuk membolehkan lebih ramai pencarum berpeluang memiliki komputer.

Beliau berpendapat penyelewengan, sepertimana yang berlaku sebelum ini, boleh dielakkan sekiranya skim itu dikendalikan secara terus oleh pihak KWSP.

Jenayah berat

Menjawab soalan itu, Chan berkata, setakat ini pihak kerajaan belum ada cadangan untuk meneruskan skim pembelian komputer melalui KWSP.

"Ini kerana penyelewangan itu bukan sahaja melibatkan pembekal dan agensi sahaja, tetapi ia juga melibatkan ribuan pencarum yang berpakat dengan pihak pembekal dalam hal ini. Memang sukar bagi kita mengawalnya," tambah beliau.

Sementara itu, Thong Fah Chong (BN-Ipoh Timur) pula mendakwa banyak kes jenayah, terutama jenayah ringan tidak dilaporkan kepada pihak polis kerana prosedur laporan adalah rumit dan memakan masa pengadu.

Katanya, perkara ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana kejadian jenayah seumpama itu bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat, tetapi juga kepercayaan pelabur dan pelancong ke negara ini.

Sehubungan itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abu Zahar Isnin, berkata pihaknya akan memberi perhatian terhadap perkara itu dan meminta supaya maklumat mengenainya dipanjangkan kepada KDN.

"Kalau ada kes-kes di mana pihak polis tidak mahu menerima laporan dari orang awam, saya berharap tulis terus kepada KDN supaya tindakan diambil terhadap mereka yang tidak mahu terima laporan, walaupun kes jenayah ringan," tegasnya.

Sebelum itu, beliau memberitahu Dewan Rakyat, 149,042 kes jenayah dilaporkan tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 13.68 peratus atau 20,843 membabitkan kes berat manakala 86.02 peratus atau 128,199 kes jenayah ringan.