Pihak berkuasa negeri sering menerima aduan daripada pengguna yang mengadu mengenai warna air yang kekuningan atau kemerahan, berkeladak dan kadangkala berbau masam.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu, masalah kualiti air disebabkan beberapa faktor, antaranya sistem paip agihan air yang telah usang dan berkarat, paip pecah dan kerja baik pulih sistem bekalan air sedang dijalankan.

Berikutan itu, katanya, kerajaan pusat memperuntukkan hampir RM300 juta dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) bagi membantu kerajaan negeri membaik pulih saluran paip air yang rosak atau telah usang.

Kos tinggi bukan alalsan

Ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) di Dewan Rakyat hari ini, Samy Vellu berkata kualiti air mungkin menurun sedikit selepas melalui proses agihan sebelum sampai kepada pengguna.

Katanya, program untuk menggantikan paip air lama di seluruh negara melibatkan kos yang sangat tinggi tetapi itu bukanlah alasan kepada kerajaan untuk tidak melaksanakan program menggantikan paip-paip yang lama di seluruh negara.

Mutu bekalan air dipantau oleh Kementerian Kesihatan berasaskan kepada Garis Panduan Kebangsaan Mengenai Kualiti Air Minuman yang diperkenalkan pada 1983.

Menurut Samy Vellu, kerajaan pusat hanya mengeluarkan pinjaman kepada kerajaan negeri yang bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan kerja membaik pulih itu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menghadapi masalah berikutan kekurangan sumber pendapatan akibat daripada kecurian air.

Tanggungjawab kerajaan negeri

Sementara itu, Chang See Ten (BN-Gelang Patah) ingin tahu sama ada wujud sistem pemantauan bagi mengenal pasti kebocoran paip.

Pada masa ini terdapat 81,908 kilometer paip agihan air di seluruh negara, dengan 61 peratus atau 49,837 km paip jenis simen asbestos, manakala 1,455 km lagi paip besi.

Menurut Samy Vellu, kerajaan pusat tidak boleh memberi arahan kepada kerajaan negeri sewenang-wenangnya untuk melakukan sesuatu perkara berhubung pembekalan air.

Kerajaan pusat, katanya, tidak boleh mengadakan apa-apa cadangan untuk mengambil alih bekalan air oleh kerana banyak kerajaan negeri memberitahu itulah satu-satunya hasil yang diperolehi.